Read Time:2 Minute, 45 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak mempunyai sejarah percubaan bunuh diri yang jelas sebelum kematiannya, menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar, Dr Noor Aishah Rosli.
Dr Noor Aishah, 51, berkata keseluruhan profil perkembangan hidup Zara dari usia sifar hingga 13 tahun menunjukkan remaja itu bukan seorang kanak-kanak yang secara konsisten menunjukkan corak kemurungan berat, pengasingan diri, ketiadaan harapan atau niat membunuh diri yang stabil.
“Berdasarkan data yang saya analisis, tidak terdapat sejarah percubaan bunuh diri yang jelas dalam kehidupan Zara sebelum kejadian,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Noor Aishah berkata, beliau turut mengambil kira isu berkaitan “barcode” atau tingkah laku mencederakan diri tanpa niat membunuh diri dalam penilaiannya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, tingkah laku itu perlu difahami dalam konteks perkembangan remaja, pengaruh rakan sebaya, trend semasa serta ekspresi emosi yang tidak matang, dan bukan secara automatik sebagai bukti niat membunuh diri.
“Dalam penilaian saya, episod tersebut tidak mencukupi untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara mempunyai niat bunuh diri yang stabil, terancang atau berterusan,” katanya.
Saksi ke-76 itu berkata, dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, termasuk model interpersonal, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, rasa menjadi beban, kemampuan untuk mencederakan diri secara serius, serta gabungan faktor akut yang membawa kepada risiko.
Menurutnya, dalam kes Zara, data yang tersedia tidak menunjukkan secara kukuh bahawa keseluruhan elemen itu wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian.
Beliau berkata, data yang tersedia lebih menyokong keperluan untuk menilai secara berhati-hati faktor luaran, situasional dan interpersonal yang berlaku dalam persekitaran sekolah dan asrama sebelum kejadian, berbanding membuat kesimpulan mudah bahawa kematian Zara berpunca daripada konflik keluarga atau keadaan psikologi dalaman semata-mata.
“Saya juga berpendapat bahawa hubungan Zara dengan ibunya tidak wajar dilihat sebagai faktor utama secara terasing. Sebaliknya, hubungan tersebut secara keseluruhan lebih banyak menunjukkan elemen kelekatan, kasih sayang, sokongan emosi dan komunikasi terbuka.
“Dalam penilaian saya, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan psikologi berdasarkan satu kategori bahan sahaja, seperti catatan tertentu, tanpa mengintegrasikan keseluruhan data perkembangan, temu bual, transkrip panggilan, pemerhatian saksi, sejarah sekolah, sejarah keluarga, faktor perlindungan dan faktor situasional hampir dengan kejadian,” katanya.
Beliau turut menyimpulkan bahawa profil psikologi Zara secara keseluruhan menunjukkan seorang kanak-kanak dan remaja awal yang ceria, sosial, aktif, penyayang, pemurah, bermotivasi, mempunyai aspirasi serta mempunyai hubungan rapat dengan ibunya.
Tambahnya, walaupun Zara mempunyai sensitiviti sosial dan cabaran perkembangan remaja seperti konflik rakan sebaya, kecemburuan persahabatan, tekanan asrama, dan beberapa tingkah laku maladaptif yang bersifat situasional, faktor-faktor tersebut tidak mencukupi secara sendirinya untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara mempunyai niat membunuh diri yang stabil atau terancang.
“Saya berpendapat bahawa Mahkamah perlu menilai keseluruhan bukti secara holistik, termasuk keadaan di sekolah, hubungan rakan sebaya, isu asrama, kejadian berkaitan tuduhan atau pemeriksaan barang, tekanan sosial, reaksi emosi Zara pada malam kejadian, serta bukti forensik dan keterangan saksi lain,” katanya.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.
Kematiannya mencetuskan gelombang solidariti pelbagai pihak yang menuntut siasatan menyeluruh bagi merungkai punca kejadian.
Mayatnya kemudian digali semula pada 9 Ogos 2025 bagi menjalani bedah siasat keesokan harinya di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Inkues kematian Zara bermula pada 3 September 2025.






