Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sawit Kinabalu Tanam Lebih 980,000 Pokok, Perkukuh Agenda Konservasi 30 Tahun Akan Datang – Sabah News

KINABATANGAN: Sawit Kinabalu akan memperkukuh agenda kelestarian bagi tempoh 30 tahun akan datang selepas merekodkan penanaman lebih 980,000 pokok sejak 2003 menerusi pelbagai program pemulihan alam sekitar dan kerjasama strategik.

Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr Musa berkata, sambutan ulang tahun ke-30 syarikat itu menjadi peluang untuk menilai perjalanan lalu serta merancang pertumbuhan dan penciptaan nilai bagi tiga dekad seterusnya.

Beliau berkata, Kawasan Konservasi Sungai Pin (SPnCA) menjadi antara contoh terbaik bagaimana pemuliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan seiring dengan pembangunan perniagaan, tanggungjawab sosial dan kepentingan masyarakat.

Harapan kami adalah apabila melihat kembali 30 tahun akan datang, kita bukan sahaja dapat melihat sejauh mana kumpulan ini telah berkembang, tetapi juga sumbangan yang telah kita berikan dalam melindungi alam sekitar serta mewujudkan peluang untuk generasi akan datang,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Zakaria Mohd Edris, sempena program bertemakan “Now for Climate” di SPnCA.

Kawasan konservasi seluas 2,632 hektar itu menyediakan habitat penting dan kesinambungan ekologi untuk hidupan liar, selain merekodkan lebih 600 jenis tumbuhan, 28 jenis mamalia, 122 spesies burung dan 22 spesies ikan.

Usaha pemuliharaan yang dilaksanakan termasuk pembinaan tiga jambatan hidupan liar, pemasangan sarang tiruan burung kenyalang, pemantauan biodiversiti serta kerjasama penyelidikan.

SPnCA turut dipilih sebagai tapak perintis Malaysia bagi Other Effective Area-Based Conservation Measures (OECM) pada 2024 dan kini menjadi calon IUCN Green List, dengan pensijilan disasarkan pada 2028.

Kawasan itu juga menjadi tapak perintis inisiatif Diplomasi Orang Utan (OUDip) yang dilaksanakan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Inisiatif berkenaan mengetengahkan komitmen Malaysia untuk melindungi orang utan di habitat semula jadi, selain menjadikan spesies itu sebagai duta pemuliharaan biodiversiti dan memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memelihara warisan semula jadi Sabah serta Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg berkata, usaha menangani perubahan iklim tidak semestinya bermula dengan inisiatif berskala besar, sebaliknya boleh dilaksanakan menerusi tindakan mudah dan praktikal di sekolah, rumah, tempat kerja serta komuniti.

Beliau berkata, penganjuran aktiviti alam sekitar memberi peluang kepada peserta memahami aspek pemuliharaan secara lebih praktikal dan bermakna, di samping menggalakkan golongan muda melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada usaha melindungi alam sekitar.

Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Sawit Kinabalu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SK Green Services and Tours Sdn Bhd, Philipa Datuk Wilfred Mojilis.

Antara aktiviti yang diadakan ialah larian santai sejauh enam kilometer, pertandingan masakan tradisional dan pertandingan mereka cipta replika hidupan liar menggunakan bahan kitar semula.

SK Paris Kumpulan 1B menjuarai pertandingan mereka cipta replika hidupan liar dan menerima RM1,000, diikuti SK Paris Kumpulan 1A di tempat kedua dengan RM800 serta SK Batu Puteh di tempat ketiga dengan RM600.

SK Batu Puteh turut memenangi Anugerah Pilihan Rakyat, manakala pertandingan masakan tradisional disertai kumpulan wanita dari Kampung Mengaris 2, Kampung Batu Puteh dan Kampung Mengaris 1.

LEAVE A RESPONSE