Read Time:2 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju penyelidikan apabila menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pengamal industri dan pembuat dasar dari dalam serta luar negara menerusi The 1st International Conference on Economics and Business Case Studies (ICEBCS) 2026.
Persidangan anjuran Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS itu menjadi platform perkongsian ilmu, pembentangan hasil penyelidikan serta pemerkasaan jaringan kerjasama antara universiti, industri dan kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi yang mampan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penyelidikan berkualiti tinggi perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang praktikal bagi membantu negara mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin kompleks.
Menurutnya, kerjasama strategik antara universiti, industri dan kerajaan perlu terus diperkasa supaya hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan dalam pembentukan dasar serta menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada pembangunan negara.

“Universiti bukan sekadar menghasilkan penyelidikan, tetapi perlu memastikan dapatan kajian dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat, industri serta negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly pada majlis perasmian persidangan yang berlangsung secara hibrid di Auditorium Perpustakaan UMS dan disiarkan menerusi platform YouTube Teh Tarik TV, baru-baru ini.
Kasim berkata, persidangan antarabangsa sulung itu berjaya menghimpunkan ratusan pembentang dan peserta dari pelbagai negara yang mewakili bidang ekonomi, perniagaan, kewangan, perakaunan, pengurusan, keusahawanan, pelancongan dan pembangunan lestari.
Beliau berkata, antara pengisian utama persidangan ialah forum bertemakan ketahanan ekonomi dan perniagaan dalam era ketidaktentuan geopolitik yang dikendalikan oleh Dr. Izaan Jamil.
Forum berkenaan menampilkan Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Datuk Haji Mohd. Hasnol Datuk Ayub, bersama Dr. Saizal Pinjaman dan Dr. Janifal Alipal sebagai ahli panel.
Katanya, forum itu memberi tumpuan kepada cabaran ekonomi Sabah, peranan sektor swasta serta kepentingan kerjasama antara institusi akademik, industri dan kerajaan dalam merangka penyelesaian yang lebih berdaya tahan.
Selain itu, rakaman khas sesi podcast TV Teh Tarik turut diadakan bagi membincangkan isu ekonomi semasa sekali gus memperluaskan akses masyarakat terhadap wacana akademik melalui medium yang lebih inklusif.
“Penganjuran ICEBCS 2026 mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan serta memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran tiga penerbitan ilmiah hasil karya penyelidik UMS, iaitu Green Economics: Integrating Behavioural Insights for Sustainable Decision-Making oleh Profesor Dr. Caroline Geetha; Insights from Cross-Border Trade and Islamic Economy: A Study of Indonesia and Malaysia oleh Profesor Madya Dr. Suddin Lada; serta Informal Economies in BIMP-EAGA: Contribution, Challenges and Facilitation oleh Dr. Saizal Pinjaman.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed.






