Read Time:2 Minute, 19 Second
SUBANG JAYA: Kontinjen Sabah mencipta sejarah baharu apabila berjaya meraih pingat emas ke-30 pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sekali gus mengatasi pencapaian 29 pingat emas yang dicatatkan pada SUKMA Sarawak 2024.
Pencapaian membanggakan itu hadir selepas Sabah menuai lima pingat emas, enam perak dan lapan gangsa pada hari kedua terakhir temasya pada Ahad.
Setakat jam 7 pagi pada Isnin, Sabah telah mengumpul keseluruhan 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa, sekali gus melepasi jumlah emas yang diraih dua tahun lalu di Sarawak yang menyaksikan kontinjen negeri membawa pulang 29 emas, 36 perak dan 55 gangsa.
Pada Isnin, beberapa acara masih berlangsung sebelum tirai SUKMA Selangor 2026 dilabuhkan secara rasmi pada hari ini, Sabah berpeluang menambah lagi koleksi pingat dan memperkukuhkan kedudukan dalam carta keseluruhan temasya.
Antara penyumbang utama kejayaan pada Ahad ialah skuad wushu yang menghadiahkan dua pingat emas menerusi atlet sanda, Amirah Sofea Azlan dan Fyenlly Himon di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Amirah menewaskan wakil Johor, See Ke Xin, 2-0 dalam final kategori wanita 45 hingga 48 kilogram, manakala Fyenlly menundukkan atlet Pulau Pinang, Terris Thaw Khai Zhe, 2-1 dalam kategori lelaki.
Satu lagi emas hadir menerusi pasukan karate wanita yang dibarisi Nur Allyssa Audrey Anthony Tinggi, Adeola Fay Robert dan Ameera Jintha Liew, dengan sokongan atlet simpanan Nur Radhiah Fathiah serta Chin Xue Yi.
Pasukan Sabah tidak berdepan masalah menewaskan Johor 2-0 dalam final kumite berpasukan wanita, dengan kemenangan Nur Allyssa dan Adeola sudah memadai untuk mengesahkan emas menjadi milik Sabah.
Skuad sepak takraw wanita pula terus membuktikan dominasi mereka apabila mempertahankan kejuaraan acara regu tiga pemain di Arena MBSJ, Puchong.
Kejayaan itu melengkapkan penguasaan penuh Sabah dalam semua acara wanita selepas turut memenangi emas dalam acara regu dua pemain, regu empat pemain dan berpasukan.
Dalam acara gimnastik artistik di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, atlet muda berbakat Marvell Vincent Voo terus menyerlah apabila merangkul pingat emas dalam acara palang sejajar lelaki.
Kejayaan tersebut menambah koleksi peribadi Marvell selepas sebelum ini turut menyumbang satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa buat kontinjen Sabah.
Sementara itu, enam pingat perak berjaya diraih menerusi pasukan kumite lelaki karate, regu tiga pemain lelaki sepak takraw, Krystel Angel Jafili dalam acara muay thai wanita kategori 51 hingga 54 kilogram, Ed Ryan Jefferon dalam muay thai lelaki kategori sama, serta dua peninju Sabah iaitu Cliff Mijol dan Muhammad Rayyan Haykal.
Lapan pingat gangsa pula diperoleh menerusi Johanitasyah dalam acara tinju wanita, Mohd Khairul Ariffin dan Kerry Dryan Jafili dalam muay thai, tiga atlet wushu iaitu Rylan Tan Jin Yi, Dione Babyline Fely dan Brandon Eranel Soriano, selain pasukan ragbi wanita serta lawan pedang epee berpasukan lelaki.
Pencapaian melepasi angka 30 emas ini membuktikan peningkatan prestasi kontinjen Sabah yang tampil lebih mantap di Selangor berbanding edisi lalu.






