Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pendekatan dakwah perlu relevan dengan perkembangan digital

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Institusi masjid khususnya di Sabah perlu terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ummah selain menjadi pusat penyatuan masyarakat, pendidikan, kebajikan, pembangunan belia, pengimarahan ilmu dan penyelesaian isu-isu sosial.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasneh berkata, Imam Kariah mampu menjadi pemimpin yang mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Jadikan masjid sebagai rumah yang sentiasa terbuka, mesra dan hidup dengan aktiviti ilmu serta kebajikan. Begitu juga Pembantu Dakwah.

Isnin Aliasneh

“Peranan saudara-saudari semakin penting dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa seperti penyalahgunaan media sosial, keruntuhan institusi keluarga, penyalahgunaan dadah, gejala sosial dalam kalangan belia dan penyebaran maklumat agama yang tidak sahih.

“Pendekatan dakwah mestilah relevan dengan perkembangan semasa. Gunakan bahasa yang sederhana, pendekatan yang berhikmah serta manfaatkan teknologi digital untuk menyampaikan mesej Islam yang benar, rahmah dan membawa penyatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Penempatan Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S1 (Imam Kariah dan Pembantu Dakwah) di sini pada Selasa.

Sementara itu, Isnin berkata, Kerajaan Sabah sentiasa komited memperkasakan institusi agama Islam sebagai salah satu tonggak pembangunan negeri.

Katanya, pembangunan fizikal dan ekonomi amat penting, namun pembangunan insan yang berteraskan nilai agama adalah asas kepada kesejahteraan masyarakat.

“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri terus memberikan perhatian kepada pengukuhan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) melalui penambahbaikan tadbir urus, pembangunan modal insan, pengisian jawatan-jawatan kritikal serta peningkatan penyampaian perkhidmatan agama kepada rakyat.

“Pelantikan Imam Kariah dan Pembantu Dakwah pada hari ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan masyarakat Islam di seluruh Sabah mendapat bimbingan agama yang berkualiti, mudah diakses dan berterusan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JHEAINS

LEAVE A RESPONSE