Read Time:1 Minute, 30 Second
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan agar Lembaga Minyak Sawit Sabah (LMSS) ditubuhkan bagi mengurus serta memperkukuh kutipan hasil industri minyak sawit di negeri ini.
Katanya, penubuhan LMSS dilihat sebagai langkah strategik untuk mempertingkatkan pengurusan hasil cukai jualan minyak sawit mentah (CPO) serta lesen dan levi kilang sawit yang ketika ini dikutip melalui pihak Persekutuan.
Beliau berkata, Sabah sebagai pengeluar minyak sawit mentah terbesar di Malaysia wajar memperoleh pulangan hasil yang lebih signifikan berdasarkan sumbangan sektor tersebut kepada ekonomi negara.
“Terdapat keperluan untuk Sabah mengurus sendiri hasil berkaitan industri sawit melalui pendekatan baharu yang lebih berkesan, termasuk kemungkinan meningkatkan kadar kutipan cukai jualan,” katanya.
Cadangan itu dikemukakan beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Masiung berkata, pada tahun 2025 Sabah merekodkan pengeluaran sebanyak 4.27 juta metrik tan minyak sawit dengan nilai keseluruhan mencecah RM17.7 bilion, sekali gus menyumbang hasil cukai yang besar kepada negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada masa ini, kutipan cukai jualan minyak sawit di Sabah dianggarkan mencecah RM1.327 bilion, manakala hasil daripada lesen dan levi kilang sawit turut menyumbang puluhan juta ringgit setahun.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar hasil tersebut dipertingkatkan melalui penubuhan LMSS yang akan bertindak mengawal selia serta mengurus kutipan hasil industri sawit di negeri ini secara lebih berpusat dan strategik.
“Jika sekiranya penubuhan LMSS ini menjadi kenyataan, maka Kerajan Sabah boleh mengambil alih kutipan Lesen Ses/Levi kepada 133 kilang sawit yang beroperasi di Sabah pada ketika ini.
“Saya rasa tuntutan itu adalah relevan selaras dengan tuntutan Geran Khas Sabah 40 peratus di bawah pelaksanaan MA63,” katanya.
“Pada masa ini, hasil Lesen Ses/Levi dikutip Kerajaan Persekutuan melalui MPOB bernilai RM2 juta hingga RM5 juta (mengikut kapasiti/saiz kilang),” katanya. – SABAH MEDIA






