Read Time:1 Minute, 36 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa sebanyak 15 telefon bimbit berserta kad SIM diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Komputer bagi tujuan analisis.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, ASP Mohd Zaidi Abu Hassan, 44, berkata beliau menerima dua serahan barang kes untuk tujuan analisis pada tarikh berbeza, iaitu pada 8 Ogos 2025 dan 19 Ogos 2025, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, Sabah.
Bagi serahan pertama pada 8 Ogos 2025, Mohd Zaidi menerima satu beg plastik lutsinar berupa beg barang kes Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengandungi 11 unit telefon bimbit berserta kad SIM daripada seorang sarjan.
Empat lagi telefon bimbit berserta kad SIM dalam beg plastik lutsinar PDRM diserahkan kepadanya oleh seorang lagi sarjan pada 19 Ogos 2025.
“Saya dapati barang-barang kes ini dalam keadaan baik,” katanya ketika membaca lebih sejam pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.
Saksi ke-70 itu berkata bersama-sama barang kes tersebut, disertakan Borang Permohonan untuk Pemeriksaan/Analisis Barang Kes (MF01) dan beliau juga telah menerima Surat Akuan Penyerahan Barang Kes Dalaman dan satu Surat Akuan Penerimaan Barang Kes (MF02).
“Berdasarkan borang MF01 pegawai penyiasat menghendaki pemeriksaan di buat terhadap kesemua barang kes telefon bimbit dan memohon untuk membuat analisis ke atas barang kes bagi mendapatkan semua maklumat media sosial, visual Whatsapp, verbaltim, gambar, gambar delete dari tempoh masa Februari 2025 sehingga terkini,” katanya.
Beliau memberitahu Koroner bahawa pemeriksaan terhadap beberapa barang kes tidak dapat dijalankan kerana barang kes tidak dapat dihidupkan selepas dicas (button on/off telah rosak) dan juga LCD telefon bimbit ini telah rosak.
Walaubagaimanapun, pemeriksaan pada kad SIM telah dijalankan untuk rujukan pegawai penyiasat.
Serahan barang kes pertama dikembalikan bersama laporan pada 19 Ogos 2025, manakala serahan kedua turut dikembalikan bersama laporan pada 2 September 2025.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan pagi di Hospital Queen Elizabeth.






