Read Time:1 Minute, 49 Second
KENINGAU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menyasarkan keluasan penanaman avokado di Sabah meningkat kepada 600 hektar menjelang tahun 2035 bagi memperkukuh pembangunan industri tanaman bernilai tinggi itu.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini keluasan tanaman avokado di Sabah mencecah 318 hektar, dengan daerah Keningau merekodkan keluasan terbesar iaitu 132 hektar yang melibatkan pelbagai varieti campuran.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan, kementerian akan meluluskan sebanyak 50,000 bahan tanaman untuk disubsidi kepada pengusaha avokado di seluruh negeri.
“Kita mensasarkan keluasan penanaman avokado sebanyak 600 hektar menjelang tahun 2035,” katanya selepas menghadiri Seminar Jaringan Perkongsian Penanaman Avokado Taiwan-Malaysia di Dewan Persidangan Lembah Durian, di sini.
Menurutnya, usaha memperluaskan tanaman avokado perlu disokong melalui pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran serta pengukuhan jaringan kerjasama dengan negara yang mempunyai pengalaman luas dalam industri tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan seminar berkenaan sebagai platform penting untuk bertukar pandangan, idea dan pengetahuan berkaitan teknik penanaman serta pengurusan pascatuai avokado.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Softwoods Hybrid Fertilizer Sdn Bhd yang menaja program itu serta lebih 60 peserta yang hadir menjayakannya.
Antara peserta yang terlibat ialah delegasi Persatuan Avokado China Taiwan, pegawai Jabatan Pertanian, wakil TF Net, penyelidik serta ahli Persatuan Penanam Durian dan Buah-buahan Tropika Malaysia (MASDA).
Beliau berkata, antara varieti yang kini ditanam di Sabah ialah Avokado QAV1 atau lebih dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah.
Katanya, program seumpama itu wajar diteruskan setiap tahun bagi membolehkan pengusaha tempatan memanfaatkan pengalaman dan teknologi yang dibangunkan oleh penanam avokado di Taiwan.
“Perkongsian kepakaran ini mampu mempercepatkan perkembangan industri avokado Sabah sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tempatan,” katanya.
Menurut statistik, Taiwan mempunyai keluasan tanaman avokado sebanyak 2,376 hektar dengan pengeluaran 22,599 tan metrik pada tahun 2024.
Sementara itu, Pengerusi MASDA, Duani Evans, merakamkan penghargaan kepada Jamawi atas sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan industri buah-buahan tropika serta kesudian menghadiri program berkenaan.
Dalam program berasingan, Jamawi turut menghadiri mesyuarat berkaitan cadangan pembinaan dan naik taraf Jalan Pangi-Tenom di Bilik Mesyuarat Stesen Janakuasa Tenom Pangi.
Beliau juga menziarahi sebuah keluarga yang ditimpa musibah bagi menyampaikan penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang meninggal dunia.






