Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

CEFL perkasa penguasaan bahasa Inggeris 75 murid di Ranau

Read Time:1 Minute, 27 Second

RANAU: Seramai 75 murid sekolah rendah dari tujuh sekolah di daerah ini menyertai bengkel bahasa Inggeris “Word Wizards – From Sounds to Stories” anjuran Cambridge English For Life (CEFL) bagi memperkukuh kemahiran asas literasi, keyakinan diri dan kreativiti.

Bengkel selama tiga hari itu dianjurkan menerusi kerjasama CEFL Ibu Pejabat, CEFL Kota Kinabalu (CEFL KK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tungou, dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau sebagai program peringkat daerah.

Program yang berlangsung di SK Tungou itu bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih menarik dan interaktif kepada murid menerusi aktiviti fonik, permainan bahasa serta cabaran secara berkumpulan.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada bunyi huruf selain memperkukuh kemahiran mengenal perkataan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan serta kondusif.

Aktiviti secara praktikal turut menggalakkan penyertaan aktif dan kerjasama dalam kalangan murid, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.

Majlis penutupan bengkel itu turut dihadiri Pegawai Perhubungan Sekolah PPD Ranau, Marcel Michael Iging, yang menandakan berakhirnya program pendidikan peringkat daerah berkenaan.

Dalam pada itu, CEFL KK turut menganjurkan Kempen Sumbangan Buku sebagai sebahagian daripada program berkenaan.

Kempen itu mendapat sokongan CEFL Ibu Pejabat, National Geographic Learning serta ibu bapa, guru dan murid CEFL KK.

Buku yang disumbangkan akan menjadi sumber tambahan kepada murid untuk memperkukuh kemahiran membaca dan menggalakkan budaya pembelajaran berterusan di luar bilik darjah.

Program berkenaan dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-25 CEFL dan mencerminkan komitmen organisasi itu dalam memperluas akses kepada peluang pembelajaran bahasa Inggeris yang berkualiti serta memberi manfaat kepada komuniti di seluruh Malaysia.

CEFL kini mempunyai lebih 70 pusat di seluruh negara dan menawarkan program pembelajaran bahasa Inggeris kepada pelajar berusia empat tahun hingga dewasa, selaras dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan Cambridge English Qualifications.

LEAVE A RESPONSE