Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU: Lebih ramai wanita perlu diberi peluang memegang jawatan kepimpinan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memperkukuh peranan golongan itu dalam menentukan hala tuju dan memperjuangkan kepentingan masyarakat.
Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata penglibatan wanita dalam kepimpinan penting bagi membawa lebih banyak pandangan dan pengalaman dalam proses membuat keputusan, selain memperkukuh gerak kerja gabungan itu.
Menurutnya, kerjasama erat antara kepimpinan wanita di semua peringkat perlu terus diperkasakan bagi memastikan gerak kerja GRS lebih tersusun dan berkesan, khususnya dalam mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.
“Usaha mendekati akar umbi perlu diteruskan supaya suara, keperluan dan aspirasi masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat. Wanita di lapangan berperanan menghubungkan kepimpinan parti dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Azizah berkata, peranan wanita perlu terus diperkukuh bukan sahaja dalam gerak kerja parti, malah dalam barisan kepimpinan bagi membantu membina GRS yang lebih kukuh dan inklusif.
“Penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan akan membawa kepelbagaian pandangan serta pengalaman yang dapat memperkukuh proses membuat keputusan,” katanya.
Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda; Penolong Setiausaha Wanita Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin; Bendahari Wanita Gagasan Rakyat, Salmi Sarinoh; Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Senator Datuk Anna Bell Perian; Timbalan Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Julia Ahmad Bahrom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; dan Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda.





