Read Time:2 Minute, 13 Second
BERNAMA
PUTRAJAYA : Pelaksanaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pada harga RM2.10 seliter mulai Julai ini dijangka membawa penjimatan hingga RM2 bilion setahun menerusi pengurangan ketirisan subsidi bahan api di dalam negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan prinsip kerajaan untuk memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang berhak, selain menjamin kestabilan bekalan diesel di dalam negara.
“Melalui penyasaran subsidi ini, kita mampu menjimatkan hingga RM2 bilion setahun. Penjimatan ini akan dipulangkan kepada rakyat melalui pengurangan harga diesel kepada RM2.10 seliter,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Amir Hamzah berkata sebelum ini, tanggungan subsidi petrol dan diesel kerajaan adalah kira-kira RM800 juta sebulan, namun meningkat mendadak kepada hampir RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April susulan lonjakan harga minyak dunia.
Pada masa sama, beliau berkata penggunaan diesel turut meningkat luar biasa daripada kira-kira 624 juta liter sebulan kepada hampir 1.2 bilion liter sebulan, sekali gus menunjukkan wujud ketirisan yang serius.
Amir Hamzah berkata ketirisan itu antaranya berlaku melalui penyeludupan rentas sempadan dan penyalahgunaan saluran subsidi, apabila pihak yang sepatutnya membeli diesel tidak bersubsidi mendapatkan bekalan diesel bersubsidi di stesen minyak.
Beliau berkata situasi itu bukan sahaja memberikan tekanan kepada fiskal kerajaan, malah boleh mengganggu dan mengancam bekalan diesel di dalam negara.
Di Sabah dan Sarawak, katanya, penggunaan diesel juga menunjukkan pola luar biasa apabila penggunaan semasa hampir dua bilion liter setahun berbanding anggaran keperluan sebenar kira-kira satu bilion liter setahun.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan terdapat ketirisan hingga satu bilion liter setahun yang perlu ditangani secara lebih berkesan.
Sehubungan dengan itu, Amir Hamzah berkata kerajaan memperkenalkan BUDI Diesel menggunakan mekanisme pengesahan MyKad seperti BUDI RON95 bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi.
“Sebanyak 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di Malaysia,” katanya.
Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak.
Katanya, penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu itu secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.
“Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai ini, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia,” katanya.- BERNAMA






