Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada empat pertuduhan memiliki dadah.
Hakim Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu terhadap Victor Chin, 25, tanpa memanggil tertuduh membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesemua pertuduhan terhadapnya.
Victor berdepan empat pertuduhan memiliki dadah, masing-masing 41.10 gram 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 4.2 gram Methamphetamine, 135.2 gram ketamin dan 0.1 gram MDMA.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta dan sebuah rumah di pangsapuri yang sama di Penampang pada 27 Mei 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 9 April lalu, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi sebelum menutup kesnya pada 24 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim, manakala Victor diwakili peguam Luke Ressa Balang.





