Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Asrama baharu SMK Majakir tingkat kapasiti kepada 300 murid

Read Time:2 Minute, 3 Second

PAPAR: Kapasiti asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar meningkat daripada 160 kepada 300 murid susulan siapnya projek pembinaan blok asrama baharu bernilai RM18.23 juta.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyerahan projek daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar hari ini mencerminkan usaha kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Beliau berkata, projek itu siap pada 30 April 2026 dan merangkumi pembinaan dua blok asrama dua tingkat serta pelbagai kemudahan sokongan.

Menurutnya, beliau bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut meninjau lokasi projek pada 26 Februari 2023 bagi mendapatkan taklimat dan melihat sendiri status kemajuan pelaksanaannya.

Katanya, sebelum ini asrama SMK Majakir hanya mampu menempatkan 160 murid, terdiri daripada 80 murid lelaki dan 80 murid perempuan.

“Bangunan tersebut pada asalnya merupakan blok bilik darjah dan pentadbiran yang kemudiannya diubah suai untuk dijadikan asrama bagi memenuhi keperluan penginapan murid.

“Penggunaan bangunan yang tidak dibina khusus sebagai asrama menyebabkan pihak sekolah berdepan pelbagai kekangan dari segi ruang, susun atur, kemudahan, keselesaan dan pengurusan penghuni,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, kapasiti sedia ada juga telah digunakan sepenuhnya, menyebabkan sebahagian permohonan murid yang memerlukan kemudahan asrama, khususnya mereka yang tinggal jauh dan menghadapi kesukaran berulang-alik setiap hari, terpaksa ditolak.

Menurutnya, kekangan ruang turut menyebabkan beberapa kemudahan digunakan untuk tujuan lain, termasuk bilik warden asrama lelaki yang dijadikan bilik murid, manakala sebuah bilik kelas digunakan sebagai bilik persediaan belajar.

“Asrama putera (ASPURA) juga tidak mempunyai bilik sakit khusus, sementara keadaan bilik penginapan yang sesak menjejaskan keselesaan serta kualiti rehat murid.

“Kedudukan dan susun atur asrama lama di kawasan sekolah turut menimbulkan cabaran kepada pihak sekolah dalam aspek kawalan pergerakan serta pengawasan murid,” katanya.

Beliau berkata, blok baharu itu turut dilengkapi dua rumah warden, dua bilik dormitori OKU, dua bilik umum, dua bilik isolasi, dua pejabat warden, dua bilik penyambut tetamu, dua gelanggang sukan, sebuah pejabat penyelia asrama dan dewan makan berkapasiti 300 orang.

Katanya, bangunan asrama lama pula akan dipertimbangkan untuk dikembalikan kepada fungsi asal sebagai bilik darjah.

“Langkah ini akan memberikan manfaat tambahan kepada pihak sekolah melalui penyediaan ruang pembelajaran yang lebih mencukupi dan kondusif,” katanya.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), JPNS, Jabatan Kerja Raya (JKR), PPD Papar, pasukan pelaksana projek, perunding dan kontraktor atas kerjasama menjayakan pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau berharap peningkatan kapasiti dan penambahan kemudahan itu dapat memperkukuh kebajikan murid serta menyediakan persekitaran asrama yang lebih selamat, selesa dan kondusif.

LEAVE A RESPONSE