Read Time:2 Minute, 40 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia tidak percaya anaknya menulis kata-kata makian terhadapnya seperti yang terkandung dalam 15 helai kertas yang dikemukakan dalam inkues.
Noraidah Lamat berkata, tulisan sedemikian tidak sama dengan karakter Zara yang dikenalinya sebagai seorang yang ceria dan akan kembali berbaik dengannya tidak lama selepas dimarahi.
“Saya tidak berapa percaya, tuan. Saya tidak percaya. Sebab kalau anak saya mahu marah, mahu marah berhabis begini kan, dia tidak sama dengan dia punya karakter.
“Karakternya ceria. Baru saya lepas marah, dia sudah baik dengan saya. Kami akan seperti biasa.
“Zara bukan saja anak, tetapi seperti sahabat dengan saya. Jadi apa pun tulisan, apa pun macam jahat betul tulisannya, bagi saya Zara tetap seorang anak yang baik dan ceria,” katanya ketika menjawab soalan daripada peguam Shahlan Jufri.
Terdahulu, Shahlan memaklumkan terdapat saksi pakar yang mengatakan 15 helai kertas itu merupakan tulisan Zara dan kandungannya turut mempunyai kata-kata makian terhadap Noraidah.
Noraidah berkata, dia tidak pernah melihat kertas berkenaan ketika Zara masih hidup dan hanya mengetahuinya apabila diberikan oleh seorang peguam ketika satu mesyuarat.
Shahlan: Terdapat saksi pakar yang mengatakan 15 helai kertas itu merupakan tulisan Zara. Kandungannya juga mengandungi kata-kata makian yang ditujukan Zara kepada puan. Soalan saya, pernahkah Zara menulis seperti ini dalam mana-mana buku catatan atau diarinya ketika masih hidup?
Noraidah: Ketika kami tinggal di rumah lama, saya pernah melihat Zara menulis sesuatu selepas saya menegurnya. Dia menulis di atas kertas lain, bukan seperti ini. Hanya sekeping kertas kecil. Dia tulis, “Mama jahat.”
“Apabila saya membacanya, saya tegur dia. Saya tanya, ‘Zara, kenapa tulis nama mama, mama jahat? Kalau orang baca nanti, orang akan fikir macam-macam mengenai Zara.’ Selepas itu saya suruh dia buang kertas itu.”
Shahlan: Apa yang berlaku sehingga Zara menulis “Mama jahat” ketika itu?
Noraidah: Ketika itu saya menegurnya kerana terlalu lama menggunakan telefon bimbit. Semasa saya menegurnya, saya membebel. Ketika saya membebel, rupa-rupanya dia menulis mengenai saya.
Shahlan: Sebagai ibu Zara yang membesarkan dan menjaganya, dan selepas membaca 15 helai kertas itu, adakah puan percaya atau mengesyaki Zara akan menulis seperti itu, khususnya bahagian yang mengandungi kata-kata makian terhadap puan?
Noraidah: Saya mengenali Zara. Kalau saya tegur dia, dia cuma akan diam dan merajuk sambil menulis. Tetapi tidak lama. Selepas kira-kira 30 minit, dia akan datang semula kepada saya….
Jadi apa pun yang dia tulis dalam buku itu, bagi saya, apabila saya lihat selepas saya marah dia, dia masih rapat dengan saya, masih baik dengan saya dan masih menunjukkan video TikTok kepada saya, saya rasa dia cuma melepaskan perasaannya ketika saya marah kepadanya.
Shahlan: Bagaimana puan biasanya memarahi atau menegur Zara ketika dia masih hidup?
Noraidah: Contohnya, kalau saya suruh dia mencuci kasut, saya akan berkata, “Ra, cuci kasut nanti ya. Cuci awal sebab kita mahu jemur di luar supaya cepat kering.”
Kalau dia tidak ikut arahan saya, saya akan cakap, ‘Ra, berapa kali sudah mama cakap? Cuci kasutmu. Lambat betul buat kerja.’ Kalau dia masih tidak buat, saya akan tinggikan lagi suara saya. ‘Zara, cepat buat kerja itu. Mama mahu keluar. Biar kau tinggal di rumah.’ Begitulah. Biasanya sebaik saja saya cakap begitu, dia akan terus buat.





