Read Time:2 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU: Kejayaan kontinjen olahraga Sabah mempertahankan gelaran juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selama tiga tahun berturut-turut memperlihatkan potensi sukan sekolah sebagai platform pembangunan murid secara holistik.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Abidin Marjan berkata, pencapaian kontinjen Sabah pada Kejohanan Olahraga MSSM 2026 di Kuantan, Pahang itu selaras dengan matlamat Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dalam melahirkan murid yang seimbang, berdaya saing dan berdaya tahan.
Menurutnya, kejayaan mengumpul 25 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa membuktikan pembangunan bakat di peringkat sekolah mampu menghasilkan pencapaian membanggakan di pentas kebangsaan.

Katanya, kecemerlangan tersebut bukan hanya diukur menerusi jumlah pingat yang diraih, sebaliknya turut mencerminkan pembentukan nilai disiplin, semangat juang dan ketahanan diri dalam kalangan atlet muda.
“Lebih membanggakan, kejayaan ini berjaya dipertahankan untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus membuktikan bahawa anak-anak Sabah terus memiliki semangat juang, bakat dan keupayaan yang tinggi untuk mengungguli persada sukan pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyambut ketibaan kontinjen MSSM Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Sabtu.
Abidin berkata, pemerkasaan bakat menerusi aktiviti sukan di sekolah memberi ruang kepada murid mengembangkan potensi masing-masing selain membentuk keyakinan dan keupayaan untuk bersaing dalam persekitaran yang lebih mencabar.
Menurutnya, pendekatan berkenaan seiring dengan usaha membangunkan murid secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi turut merangkumi bakat, sahsiah, disiplin dan daya tahan.
“Ini membuktikan bahawa anak-anak Sabah bukan sahaja berpotensi besar, malah mampu mendominasi pentas kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian tersebut perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh pembangunan sukan sekolah secara berterusan, khususnya menerusi usaha mengenal pasti bakat baharu dan menyediakan laluan pembangunan yang lebih tersusun.
Katanya, kesinambungan pembangunan atlet dari peringkat sekolah penting bagi membolehkan bakat yang dikenal pasti terus dibimbing sehingga mampu mewakili negeri dan negara pada pertandingan lebih tinggi.
Dalam pada itu, Abidin merakamkan penghargaan kepada atlet muda Sabah, jurulatih, guru pengiring, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengurusan kontinjen Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) serta ibu bapa atas sokongan dan komitmen yang diberikan.
Beliau berkata, kejayaan kontinjen Sabah tidak akan tercapai tanpa kerjasama semua pihak yang terlibat dalam merancang, melatih dan mempersiapkan atlet sebelum menghadapi kejohanan.
“Marilah kita teruskan momentum ini untuk melipatgandakan usaha pembangunan sukan di sekolah, mencungkil lebih banyak bakat baharu dan membimbing anak-anak kita ke persada antarabangsa,” katanya.
Sabah muncul juara keseluruhan Olahraga MSSM 2026 dengan kutipan 51 pingat, terdiri daripada 25 emas, 13 perak dan 13 gangsa, sekali gus meneruskan kejayaan pada edisi 2024 dan 2025.






