Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah mahu bina jambatan ukhuwah masjid seluruh Nusantara dan ASEAN

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Sabah mahu memperkukuh jaringan kerjasama institusi masjid di seluruh rantau Nusantara dan ASEAN sebagai usaha membina hubungan persaudaraan Islam yang lebih tersusun dan berterusan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata hubungan antara institusi masjid perlu diperkasa merentasi sempadan negara, budaya dan masyarakat berlandaskan akidah serta nilai Islam.

Beliau berkata, Program Silaturahim Himpunan Masjid-Masjid Serantau Sabah, Malaysia 2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan berkenaan menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran antara pemimpin, pentadbir, imam, ahli jawatankuasa masjid, ilmuwan serta tokoh masyarakat.

Menurutnya, penyertaan delegasi dari negara serantau termasuk Indonesia dan Kemboja menunjukkan potensi besar untuk memperluas jaringan kerjasama institusi masjid di rantau ini.

“Dari Sabah, kita ingin membina jambatan ukhuwah yang menghubungkan masjid-masjid di seluruh rantau Nusantara dan ASEAN,” katanya ketika merasmikan Program Silaturahim Himpunan Masjid-Masjid Serantau Sabah, Malaysia 2026 di di sini, pada Khamis.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, kerjasama tersebut boleh diperluas dalam pelbagai bidang termasuk perkongsian pengalaman pengurusan masjid, pembangunan modal insan, latihan kepimpinan, program pendidikan, kebajikan masyarakat serta inovasi dalam pengimarahan masjid.

Katanya, setiap negara mempunyai kekuatan, pengalaman dan pendekatan tersendiri dalam membangunkan institusi masjid, justeru pertemuan seumpama itu memberi ruang kepada peserta mempelajari amalan terbaik untuk disesuaikan dengan keperluan masyarakat masing-masing.

Beliau berharap himpunan berkenaan tidak berakhir sekadar pertemuan, perbincangan dan pertukaran pandangan, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih tersusun serta memberi manfaat nyata kepada institusi masjid dan masyarakat Islam serantau.

“Semoga hubungan persaudaraan yang terjalin akan terus dipelihara dan diperkukuh melalui kerjasama yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata institusi masjid mempunyai kedudukan penting dalam membangunkan masyarakat Islam, bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi juga pusat pendidikan, penyatuan masyarakat, penyebaran ilmu, kebajikan dan pembangunan kehidupan umat.

Katanya, pengimarahan masjid pada masa kini perlu dilihat dalam skop yang lebih luas meliputi pembangunan kerohanian, pengukuhan ilmu, pembinaan akhlak, kebajikan masyarakat dan kesejahteraan ummah.

Beliau berkata, masjid yang berjaya bukan hanya dinilai berdasarkan keindahan bangunannya, sebaliknya sejauh mana institusi berkenaan mampu membina manusia dan memberi manfaat kepada masyarakat di sekelilingnya.

“Masjid yang makmur membina masyarakat yang sejahtera. Masjid yang diurus dengan amanah melahirkan ummah yang bermaruah. Masjid yang bersatu membina kekuatan umat Islam serantau.

“Kita tidak mahu masjid hanya berdiri megah sebagai lambang keindahan seni bina Islam. Kita mahu masjid berdiri teguh sebagai pusat kekuatan ummah, tempat lahirnya ilmu, terbentuknya akhlak, terbinanya perpaduan dan berkembangnya kesejahteraan masyarakat,” katanya.

LEAVE A RESPONSE