KOTA KINABALU: Daerah Kudat merekodkan jumlah taburan hujan harian tertinggi di Malaysia dengan bacaan 62.6 milimeter (mm) pada Rabu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, bacaan itu direkodkan Stesen Meteorologi Utama Kudat, mengatasi Stesen Meteorologi Utama Ipoh, Perak yang mencatatkan 58.0 mm.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, Stesen Meteorologi Utama Kluang, Johor merekodkan suhu maksimum harian tertinggi negara iaitu 33.6 darjah Celsius (°C).
Bacaan itu diikuti Stesen Meteorologi Utama Kuching, Sarawak dengan 33.5°C, Stesen Meteorologi Utama Kapit, Sarawak (33.4°C) dan Stesen Meteorologi Utama Muadzam Shah, Pahang (33.3°C).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta merancang aktiviti harian berdasarkan keadaan cuaca semasa.
Maklumat dan perkembangan cuaca terkini boleh diperoleh menerusi laman sesawang serta saluran media sosial rasmi METMalaysia.





