Read Time:3 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU: Peruntukan besar yang disalurkan Kerajaan Negeri dalam pelbagai inisiatif pendidikan tahun ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan demi masa depan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata komitmen itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan ekosistem pendidikan negeri kekal kondusif, inklusif dan berdaya saing.
Katanya, usaha berkenaan selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menjadi pelan strategik untuk meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri secara mampan serta inklusif.
“Kerajaan Negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ kerana pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan sesebuah negeri dan negara.
“Pendidikan juga kunci yang mampu mengubah nasib keluarga, membasmi kemiskinan dan seterusnya memacu kemajuan Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah Tahun 2026 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, prinsip kerajaan negeri jelas dengan mengutamakan agenda ‘Sabah First’ serta memastikan akses pendidikan terbuka kepada semua tanpa membiarkan anak-anak Sabah tercicir daripada memperoleh pendidikan berkualiti.
Menurutnya, meskipun pendidikan secara dasarnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, fokus utama adalah memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi atau lokasi tempat tinggal.
Sehubungan itu, pelbagai bantuan pendidikan disediakan, khususnya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, menerusi bantuan kewangan, biasiswa dan sokongan persekolahan bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada pendidikan.
Hajiji berkata, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) untuk pelajar B40, yang memberi manfaat kepada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negara.
Daripada jumlah itu, 13 inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM87.5 juta dan akan diteruskan pada tahun depan.
Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).
Inisiatif lain termasuk Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES).
Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan inisiatif bantuan berkenaan, kerajaan negeri membelanjakan RM254 juta yang memberi manfaat kepada 141,635 pelajar IPT dan 277,124 pelajar sekolah.
Peruntukan itu turut membantu 1,537 sekolah termasuk sekolah agama, 67 persatuan pelajar IPT Sabah serta membolehkan 476 program pendidikan dilaksanakan.
Selain itu, bantuan pendidikan turut disalurkan melalui agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan organisasi bantuan yang boleh diakses menerusi Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).
Antaranya Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), yang menyediakan biasiswa dan tajaan pengajian tinggi dengan peruntukan meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM161 juta setakat 31 Oktober 2026, berbanding RM55 juta pada 2021.
Bantuan pendidikan turut disediakan Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh dan menambah baik inisiatif bantuan pendidikan supaya penyampaiannya lebih berkesan, telus serta sampai kepada kumpulan sasaran.
Beliau turut menggesa semua pihak, termasuk jabatan kerajaan, sekolah, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti setempat, berganding bahu menyokong usaha berkenaan demi melahirkan generasi muda berkualiti yang mampu menjadi modal insan, pemimpin dan tenaga profesional untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara pada masa hadapan.





