KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengarah klinik swasta kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan dana Program Saringan Kesihatan anjuran sebuah badan berkanun bernilai kira-kira RM50,000.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan tersebut, berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2023 dengan menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tanpa pengetahuan mereka bagi memohon dana berkenaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Suspek akan dilepaskan selepas keterangannya selesai diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.





