PUTRAJAYA: Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, masih dalam proses untuk dimuktamadkan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya mengambil perhatian dan menghargai pandangan masyarakat berhubung urusan perkhidmatan pegawai berkenaan.
Menurut kementerian itu, urusan berkenaan akan dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.
“Dalam menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai, KDN turut memberikan perhatian kepada kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas di AKPS,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
KDN berkata, penubuhan AKPS yang kini memasuki tahun kedua bertujuan memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Menurutnya, sebagai agensi penting dalam memperkukuh keselamatan sempadan, AKPS turut memainkan peranan dalam memastikan kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta pematuhan terhadap integriti dan disiplin.
“Keutamaan KDN adalah akan memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.




