Read Time:2 Minute, 6 Second
KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kerajaan Negeri menyediakan rumah transit khas bagi kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser serta penjaga mereka, khususnya keluarga dari daerah pedalaman dan luar bandar.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, kemudahan itu penting bagi membantu keluarga yang terpaksa tinggal di Kota Kinabalu untuk tempoh panjang sepanjang anak mereka menjalani rawatan.
Beliau berkata, Unit Onkologi Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah menerima kira-kira 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun, dengan hampir separuh pesakit berasal dari luar daerah Kota Kinabalu, termasuk Pitas, Kota Marudu dan Kudat.
Menurutnya, sebahagian besar pesakit didiagnosis menghidap leukemia akut yang memerlukan rawatan intensif dan berpanjangan, malah ada yang perlu menjalani rawatan di Kota Kinabalu sehingga lapan bulan.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja membebankan keluarga dari segi emosi, malah memerlukan mereka menanggung kos penginapan, pengangkutan dan perbelanjaan harian, selain terpaksa meninggalkan pekerjaan serta ahli keluarga lain untuk tempoh yang panjang.
Beliau berkata, walaupun Rumah Ronald McDonald sedia ada banyak membantu keluarga pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, kemudahan itu turut digunakan oleh keluarga pesakit daripada perkhidmatan lain, termasuk onkologi dewasa dan jabatan perubatan lain.
Justeru, katanya, kapasiti sedia ada tidak mencukupi untuk menampung semua keluarga pesakit kanser kanak-kanak yang memerlukan penginapan jangka panjang.
“Sabah memerlukan rumah transit atau kemudahan penginapan sementara khusus untuk kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser dan penjaga mereka.
“Kemudahan itu tidak perlu mewah, sebaliknya memadai dengan tempat yang selamat, bersih dan berpatutan serta terletak berhampiran hospital,” katanya dalam satu kenyataan media sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak, di sini, hari ini.
Dr Brandon berkata, penyediaan rumah transit itu dapat mengurangkan keperluan perjalanan berulang-alik, meringankan beban kewangan keluarga dan membantu memastikan kanak-kanak meneruskan serta melengkapkan rawatan tanpa masalah penginapan menjadi halangan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri wajar menerajui usaha itu kerana kanak-kanak berkenaan merupakan anak Sabah, manakala kebanyakan keluarga yang terjejas berasal dari daerah yang jauh dan kurang mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.
Menurutnya, inisiatif itu boleh dilaksanakan dengan menyediakan atau mengubah suai premis kerajaan sedia ada berhampiran hospital, atau menerusi kerjasama dengan organisasi kebajikan, sektor swasta dan rakan strategik lain.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan menentang kanser kanak-kanak bukan sekadar menyediakan kemoterapi, ubat-ubatan dan rawatan pakar, tetapi turut memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang adil untuk melengkapkan rawatan tanpa mengira jarak tempat tinggal keluarga mereka.
“Tiada kanak-kanak di Sabah yang sedang berjuang melawan kanser sepatutnya menghadapi kesukaran tambahan untuk mendapatkan rawatan hanya kerana keluarga mereka tidak mempunyai tempat untuk tinggal,” katanya.





