Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Malaysia, Peru teroka kerjasama strategik sektor mineral

Read Time:1 Minute, 45 Second

LIMA, PERU: Malaysia dan Peru meneroka peluang kerjasama strategik dalam sektor mineral menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan rakan sejawatnya dari Peru, Menteri Tenaga dan Perlombongan, H.E. Waldir Eloy Ayasta Mechan.

Pertemuan itu diadakan sempena lawatan kerja Arthur ke Peru bagi menghadiri Kongres Perlombongan Sedunia (World Mining Congress, WMC) 2026 yang berlangsung bermula hari ini hingga 26 Jun.

Arthur berkata, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri mineral yang mampan serta memperluaskan peluang pelaburan strategik antara kedua-dua negara.

Menurutnya, Malaysia komited memanfaatkan platform WMC 2026 bagi memacu pelaburan strategik dan memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal di rantau ASEAN.

“Perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus mineral, kerjasama penyelidikan geosains serta pemerkasaan standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Turut dibincangkan adalah pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan industri mineral yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pertemuan dua hala itu, Arthur turut menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Menteri Peringkat Tinggi yang menghimpunkan pemimpin dan pembuat dasar industri perlombongan dari pelbagai negara.

Beliau berkata, sesi berkenaan membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan, industri dan institusi penyelidikan kedua-dua negara dalam usaha membina rantaian bekalan mineral global yang lebih berdaya tahan.

Menurutnya, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi Kerjasama Mineral ASEAN 2026 meletakkan negara dalam posisi strategik untuk memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rantau ASEAN dan Amerika Latin.

“Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi penghubung antara Amerika Latin dan ASEAN, sekali gus membuka peluang pelaburan dan perdagangan baharu dalam sektor mineral, tenaga bersih dan teknologi termaju bagi negara kita serta rantau ASEAN,” katanya.

Arthur berkata, lawatan kerja itu juga mempunyai nilai signifikan kerana berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan Peru.

Katanya, hubungan yang telah terjalin selama empat dekad itu mampu menjadi pemangkin strategik dalam memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

WMC merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan menteri, pembuat dasar, pemimpin industri, pakar teknikal, penyelidik serta pemain sektor perlombongan dari seluruh dunia bagi membincangkan perkembangan semasa, cabaran dan hala tuju industri perlombongan global.

LEAVE A RESPONSE