Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS perkukuh jaringan penyelidikan Borneo

Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai hab penyelidikan tropika dan kelestarian serantau apabila menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Saintifik Borneo Studies Network (BSN) Ke-8 yang menghimpunkan 12 universiti serta penyelidik dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Program selama dua hari itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama saintifik rentas sempadan, menyelaras agenda penyelidikan strategik serta memperkasakan perkongsian ilmu bagi menyokong pembangunan lestari di Borneo.

Hanif

Pengerusi Baharu Jawatankuasa Saintifik BSN, Dr Abdul Hanif Mahadi berkata, jaringan BSN kini memasuki fasa baharu yang memberi penekanan terhadap penghasilan penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama akademik yang lebih substantif.

Menurutnya, antara fokus utama BSN ialah memperkukuh mobiliti penyelidik dan pelajar, memperluaskan kerjasama antarabangsa serta membangunkan inisiatif penyelidikan rentas institusi yang lebih mampan.

“Mobiliti akademik kekal sebagai antara aspek paling bernilai dalam BSN. Namun, cabaran seperti urusan visa, kos perjalanan dan kekangan geopolitik memerlukan pendekatan kerjasama yang lebih fleksibel dan praktikal.

“Kita perlu meneroka pendekatan baharu termasuk penyeliaan bersama pelajar penyelidikan, permohonan geran bersama, penempatan penyelidikan jangka pendek serta penggunaan platform digital secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat tersebut yang berlangsung di Dewan Bankuasi UMS, pada Rabu.

Hanif berkata, BSN juga membuka ruang kepada kerjasama antarabangsa yang lebih luas memandangkan isu berkaitan biodiversiti, perubahan iklim dan pembangunan lestari merupakan cabaran global yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penyatuan institusi pengajian tinggi di bawah jaringan BSN mencerminkan komitmen bersama dalam melindungi khazanah biodiversiti dan ekosistem Borneo yang diiktiraf sebagai antara yang tertua di dunia.

“Borneo bukan sekadar sebuah pulau, tetapi khazanah global yang memiliki kekayaan biodiversiti, budaya masyarakat peribumi dan ekosistem penting yang memainkan peranan besar terhadap keseimbangan alam sekitar dunia.

“Namun, rantau ini kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, pembangunan infrastruktur dan perubahan landskap ekonomi yang memerlukan kerjasama strategik antara institusi penyelidikan di seluruh Borneo.

“BSN bukan sekadar jaringan akademik biasa, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan aliran ilmu, penyelidikan dan inovasi terus diperkukuh merentasi sempadan negara,” katanya.

Fiffy

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim.

Kasim berkata, penglibatan universiti-universiti utama di Borneo menerusi BSN berupaya menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang dapat membantu kerajaan, industri dan komuniti dalam merangka pembangunan lestari rantau ini.

“Cabaran abad ke-21 menuntut institusi pengajian tinggi memperkukuh kerjasama rentas disiplin melalui pelaksanaan penyelidikan bersama, perkongsian kemudahan makmal, ekspedisi lapangan serta pengukuhan program mobiliti pelajar dan pensyarah.

“Kita mahu setiap penyelidikan yang dilaksanakan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan, malah memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di Borneo,” ujarnya.

Mesyuarat itu turut menampilkan pembentangan strategik daripada kumpulan penyelidikan utama BSN melibatkan bidang biodiversiti Borneo, warisan budaya dan etnik, transformasi komuniti lestari, tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi dan perniagaan.

Selain sesi perbincangan saintifik, delegasi turut dijadual menyertai lawatan ke BorlS Living Lab di Sunduan Nabalu, Tuaran sempena Program Networking Day yang mengetengahkan inovasi komuniti dan kelestarian berasaskan biodiversiti.

LEAVE A RESPONSE