Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hanya 34 peratus pegawai perubatan lapor diri di Sabah – Tham

Read Time:2 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Hanya kira-kira 34 peratus daripada 138 pegawai perubatan yang ditempatkan di hospital seluruh Sabah dilaporkan sudah melapor diri, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai isu kekurangan tenaga perubatan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengambil langkah lebih menyeluruh bagi menangani isu berkenaan, termasuk meneliti faktor yang menyebabkan sebahagian pegawai perubatan yang ditempatkan di Sabah tidak melapor diri.

Beliau berkata, walaupun proses penempatan dan lapor diri masih berjalan, keadaan itu menunjukkan bahawa isu kekurangan tenaga perubatan di Sabah tidak boleh ditangani hanya melalui penambahan jumlah penempatan.

Sebaliknya, katanya, faktor yang mempengaruhi kesediaan pegawai perubatan untuk datang dan terus berkhidmat di Sabah juga perlu difahami serta ditangani.

“Saya telah mengemukakan beberapa cadangan ketika Jawatankuasa Pilihan Kesihatan Parlimen mengadakan tinjauan dan pertemuan berkaitan isu kesihatan di Sabah sebelum ini.

“Antaranya ialah keperluan menyediakan insentif yang lebih kompetitif, kemudahan perumahan dan kebajikan yang lebih baik, peluang latihan kepakaran serta laluan perkembangan kerjaya yang lebih jelas kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah,” katanya.

Tham berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan dan Cenderamata kepada sekolah-sekolah yang terlibat dalam Program SULAM “Little Medic”, anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat ADUN N19 Likas dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.

Menurut beliau, faktor geografi Sabah yang luas serta keadaan penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman juga perlu diambil kira dalam merangka dasar penempatan tenaga kesihatan.

Katanya, kemudahan tempat kerja, sokongan kepada keluarga, peluang kenaikan pangkat dan pembangunan profesional merupakan antara aspek yang perlu diberi perhatian bagi memastikan tenaga perubatan bukan sahaja datang ke Sabah, tetapi juga bersedia untuk terus berkhidmat di negeri ini.

Tham turut menegaskan isu berkenaan bukan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya Kerajaan Negeri Sabah juga perlu memainkan peranan bersama dalam mencari penyelesaian.

“Kerajaan Negeri juga perlu membantu dari aspek kemudahan, perumahan, infrastruktur dan kebajikan supaya Sabah dapat menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk menarik serta mengekalkan tenaga profesional dalam bidang kesihatan,” katanya.

Dalam majlis sama, Tham turut menggalakkan pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS supaya bersedia berkhidmat di mana sahaja mereka diperlukan selepas menamatkan pengajian, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Saya berharap para pelajar perubatan UMS bukan sahaja melihat kerjaya ini dari sudut profesional, tetapi juga mempunyai semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira lokasi.

“Jika kita mahu memastikan rakyat di kawasan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, kita juga memerlukan doktor yang bersedia untuk pergi dan berkhidmat di kawasan tersebut,” katanya.

Tham turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan mengambil kira cadangan yang dikemukakan serta menjalankan penilaian menyeluruh terhadap dasar penempatan dan pengekalan pegawai perubatan di Sabah.

“Kita tidak boleh hanya melihat kepada berapa ramai doktor yang dihantar ke Sabah. Kita juga perlu melihat mengapa sebahagian daripada mereka tidak melapor diri dan apakah halangan yang menyebabkan mereka kurang bersedia untuk berkhidmat di Sabah,” katanya.

Turut hadir Dr. Syilvia Daim, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, serta guru besar sekolah-sekolah yang terlibat dalam Program SULAM “Little Medic”.

LEAVE A RESPONSE