Read Time:1 Minute, 42 Second
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 mahasiswa menyertai Program Advokasi Kepenggunaan dalam Aktivisme Belia dan Penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu, malam tadi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pertemuan itu membuka ruang untuk berdialog mengenai isu kos sara hidup serta peranan mahasiswa dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di kampus.

Katanya, semangat keprihatinan dan kesukarelawanan perlu terus disuburkan dalam kalangan mahasiswa, termasuk melalui Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
“Empati dan kepedulian terhadap rakan mahasiswa merupakan antara transformasi peranan GPS yang mahu kita perkukuh melalui i-FB, sejajar dengan tiga terasnya iaitu 3S — Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika ini terdapat 196 GPS di seluruh negara, termasuk 34 GPS di Sabah.
“Daripada jumlah itu, 56 GPS terlibat dalam pelaksanaan i-FB di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing, termasuk tujuh di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, jaringan berkenaan diharap dapat memperkukuh kerjasama antara mahasiswa, institusi pengajian tinggi, sektor swasta dan rakan strategik KPDN bagi memastikan pelaksanaan i-FB dapat digerakkan secara berterusan.
Katanya, penglibatan GPS perlu membawa manfaat secara langsung kepada kehidupan mahasiswa, termasuk membudayakan sikap saling membantu, kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap kebajikan rakan.
“Usaha ini penting untuk membina jaringan sokongan supaya mahasiswa yang berdepan kekangan dapat memberikan tumpuan kepada pengajian,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan geran i-FB kepada GPS UiTM Sabah bagi memperkukuh usaha kebajikan mahasiswa serta memastikan bantuan makanan disalurkan secara tersusun kepada mereka yang memerlukan.
Selain itu, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan daripada lapan operator dan rakan strategik KPDN kepada UiTM serta menyerahkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH KPDN kepada pengusaha kantin Kolej Manukan, UiTM Kota Kinabalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Sabah, UiTM Sabah dan semua rakan strategik atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
“Semoga usaha bersama ini terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pengguna yang bijak dan cakna, serta penggerak komuniti kampus yang peduli terhadap kebajikan sesama mereka,” katanya.





