KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melupuskan segulung kulit kabel curi milik syarikat TM Malaysia Sdn Bhd.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Rafianzie Ronnie, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Rafianzie dengan curangnya melupuskan segulung kulit kabel berwarna hitam milik syarikat itu walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah harta curi.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2.40 petang pada 13 November lalu di kawasan tepi jalan Pantai Lok Kawi, Putatan, dalam daerah Penampang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, polis merampas barang kes di kawasan tepi jalan Pantai Lok Kawi, Putatan, kira-kira jam 2.40 petang pada 13 November lalu, hasil soal siasat dan maklumat yang diberikan tertuduh selepas penahanannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh.





