Read Time:1 Minute, 2 Second
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berdepan detik dukacita susulan pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
MCMC berkata, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah perkara yang tidak wajar dipandang ringan.
Katanya, perkara itu lebih membimbangkan apabila melibatkan saat kehilangan dan kedukaan seseorang.
“MCMC telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.
MCMC turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
Menurut MCMC, kemajuan AI membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.





