Read Time:1 Minute, 55 Second
KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam dan empat pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini berhubung kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Mereka ialah pembantu tadbir Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Aidah Mustapha, 54, serta pemilik syarikat Ashar Usman, 45; Shariff Wahya, 55; Kenidi Musa, 41; dan Mohd Nur Musa, 42.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A Dadi.
Mereka didakwa melakukan kesalahan masing-masing antara Februari dan September 2021 di Pejabat GIATMARA Negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Aidah berdepan 10 pertuduhan.
Empat pertuduhan membabitkan pemberian invois yang mengandungi pernyataan palsu kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah ketika itu berkaitan kerja baik pulih rumah di bawah PPRT atas nama beberapa individu. Mengikut pertuduhan, kerja baik pulih rumah berkenaan didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja (BQ) yang ditetapkan.
Enam lagi pertuduhan membabitkan penggunaan dokumen palsu sebagai tulen bagi tujuan menipu untuk mendapatkan bayaran kerja.
Antara dokumen berkenaan ialah Perakuan Serahan Siap Kerja, Borang Permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR), Borang Kebenaran Menggunakan Tanah Milik bagi pelaksanaan projek PPRT serta Borang Profil Peserta PPRT Tahun 2021.
Ashar dan Shariff masing-masing berdepan satu pertuduhan, manakala Kenidi dan Mohd Nur masing-masing berdepan lima pertuduhan memberikan dokumen yang mengandungi pernyataan palsu bagi kerja baik pulih rumah di bawah PPRT kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah ketika itu.
Setiap pertuduhan membabitkan sebuah rumah PPRT dan kerja baik pulih berkenaan tidak dilaksanakan atau tidak mengikut spesifikasi kerja (BQ) yang ditetapkan.
Pertuduhan berkaitan dokumen yang mengandungi pernyataan palsu dikemukakan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Pertuduhan berkaitan penggunaan dokumen sebagai tulen sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayainya palsu pula dikemukakan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan untuk pengurusan kes.
Semua tertuduh dibenarkan diikat jami dengan amaun yang berbeza beserta penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya semua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan/atau pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi pendakwaan.
Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi mengendalikan pendakwaan, manakala Aidah diwakili peguam Jessica Ombou.
Empat tertuduh lain tidak diwakili peguam.





