Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

ECoS perkasa penguatkuasaan kelengkapan elektrik dan gas tanpa label keselamatan

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan kelengkapan elektrik dan perkakas gas yang dijual di Sabah mematuhi piawaian keselamatan serta kehendak perundangan ditetapkan.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, ECoS memaklumkan operasi pada 17 September lalu memeriksa empat premis di sekitar Kota Kinabalu yang disyaki menjual kelengkapan elektrik dan perkakas gas tanpa label atau penandaan keselamatan yang diluluskan.

Operasi bersepadu itu membabitkan 22 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai SIRIM.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai produk tidak mempunyai label atau penandaan keselamatan ditetapkan, termasuk mentol lampu, kabel elektrik, cerek elektrik, seterika elektrik dan dapur gas.

Semua produk berkenaan disita untuk tindakan lanjut.

Mengikut Peraturan 107 Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024), kelengkapan elektrik pengguna yang dikawal selia hendaklah mendapat kelulusan serta mempunyai label atau penandaan keselamatan yang ditetapkan ECoS sebelum dijual.

Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 134 PPBE 2024.

Jika disabitkan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi perkakas gas pula, Peraturan 117 Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023 (PPBG 2023) menetapkan setiap perkakas gas yang diluluskan hendaklah mempunyai penandaan atau pelabelan ditetapkan sebelum dijual.

Kegagalan mematuhi keperluan itu merupakan kesalahan di bawah subseksyen 62(2) Enakmen Bekalan Gas 2023 (EBG 2023), dengan pesalah yang disabitkan boleh didenda sehingga RM500,000, termasuk denda tambahan bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan.

ECoS mengingatkan semua peniaga, pembekal, pengimport dan pengedar supaya memastikan kelengkapan elektrik serta perkakas gas yang dipasarkan mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan dan perundangan.

Pengguna pula dinasihatkan supaya memeriksa dan memastikan produk yang dibeli mempunyai label atau penandaan keselamatan yang sah.

ECoS akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan produk yang dipasarkan selamat digunakan, sekali gus melindungi keselamatan dan kepentingan pengguna di Sabah.

LEAVE A RESPONSE