KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan penyelewengan peruntukan pembinaan sebuah dewan bernilai kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di Sabah.
Suspek dipercayai mengemukakan permohonan peruntukan serta melaksanakan sendiri projek pembinaan dewan berkenaan tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan terbabit.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis,” katanya.






