Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

ESSCOM, pasukan AS perkukuh kesiagaan tangani risiko kecemasan

Read Time:1 Minute, 32 Second

SANDAKAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama pasukan dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) mengadakan latihan Medical First Responder (MFR) bagi meningkatkan tahap kesiagaan menghadapi situasi kecemasan termasuk bencana alam dan bantuan kemanusiaan.

Latihan dua hala yang berlangsung dari 14 hingga 18 September lalu itu melibatkan Special Operation Forces Liaison Element (SOFLE) dan Civil Military Support Element (CSME) dari Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur.

Seramai 30 pegawai dan anggota ESSCOM serta agensi berkaitan menyertai latihan bersama 11 fasilitator SOFLE dan CSME.

Latihan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan.

Komander ESSCOM Datuk Victor B Sanjos berkata latihan itu bertujuan meningkatkan tahap kesiagaan, pengetahuan dan pengalaman peserta, khususnya dalam pengurusan risiko kecemasan membabitkan senario bencana alam dan bantuan kemanusiaan secara teori serta praktikal.

“Selain itu, latihan sebegini turut memperkukuh koordinasi antara ESSCOM dan agensi keselamatan, penguat kuasa, perubatan serta badan berkanun bukan kerajaan yang beroperasi dalam kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, latihan bersama itu berjaya dilaksanakan mengikut terma rujukan yang ditetapkan kedua-dua pihak dan secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan hubungan serta kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Penganjuran latihan bersama ini secara tidak langsung turut menyumbang terhadap pengukuhan hubungan dan kerjasama dalam bidang keselamatan di antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Program seumpama ini, diharap akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Majlis penutupan Seminar MFR disempurnakan Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria yang mewakili Komander ESSCOM bersama wakil merangkap ketua jurulatih dari Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, Captain James Blackburn dari Civil-Military Support Element US Special Forces (CSME-SF).

Hadir sama pegawai-pegawai kanan ESSCOM, Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Hospital Sandakan dan St. John Ambulans Malaysia.

LEAVE A RESPONSE