Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SUKMA XXII : Sabah sasar lapan pingat emas hari ini

Read Time:1 Minute, 33 Second

SHAH ALAM: Kontinjen Sabah meletakkan sasaran untuk meraih lapan lagi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor hari ini sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu dalam carta pungutan pingat keseluruhan.

Lapan pingat emas berpotensi disumbangkan menerusi beberapa acara yang masih berlangsung termasuk akuatik renang, muaythai, sepak takraw, tinju, wushu, e-sukan dan lawn bowls.

Prospek utama emas Sabah hadir menerusi perenang Chu Xin Ying dalam acara 1,500 meter gaya bebas wanita yang dijadual berlangsung pada sebelah petang.

Selain itu, skuad muaythai turut membawa harapan besar apabila tiga atlet Sabah berjaya mara ke peringkat akhir.

Mereka ialah Eva Anatasia Warren bagi kategori 45-48 kilogram wanita, Krystel Angel Jafili (51-54kg wanita) dan Ed Ryan Jefferson (51-54kg lelaki).

Dalam acara sepak takraw, pasukan regu wanita Sabah turut berpeluang menghadiahkan pingat emas selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan berpotensi beraksi di final sekiranya melepasi halangan lawan.

Acara tinju pula menyaksikan dua petinju Sabah mara ke pentas akhir iaitu Muhammad Rayyan Haykal bagi kategori middleweight lelaki 71-75 kilogram dan Cluff Mijol dalam kategori light weight lelaki 57-60 kilogram.

Sabah turut menaruh harapan kepada dua atlet wushu, Amirah Sofea Azlan dalam kategori 48 kilogram wanita dan Fyennly Himon bagi kategori 52 kilogram lelaki yang dijadual beraksi dalam perlawanan akhir pada sebelah petang.

Dalam sukan e-sukan, Mohamad Nurwansyah Erwan menjadi sandaran Sabah dalam acara Street Fighter Lelaki yang turut menawarkan peluang untuk menambah koleksi emas kontinjen.

Sementara itu, pasangan lawn bowls Sabah, Adilah Justine dan Nuremilda Jazelime Binti Jalit, masih meneruskan cabaran dalam acara pairs wanita dan berpeluang menghadiahkan pingat berharga kepada negeri itu.

Setakat Sabtu, Sabah telah mengumpul 25  pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 72 pingat yang diraih sepanjang temasya berlangsung.

Kontinjen Sabah optimis mampu menambah koleksi emas dan menamatkan saingan SUKMA Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE