Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kemajuan kesihatan Sabah dibina atas jasa warga terdahulu

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Kemajuan perkhidmatan kesihatan di Sabah pada hari ini dibina atas asas kukuh hasil usaha, komitmen dan pengorbanan warga kesihatan terdahulu yang telah berkhidmat selama bertahun-tahun.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis berkata, sumbangan para pesara tidak seharusnya dilupakan kerana mereka merupakan antara individu yang meletakkan asas kepada perkembangan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

“Ketahuilah bahawa kemajuan perkhidmatan kesihatan yang kita nikmati di Sabah pada hari ini adalah hasil asas kukuh yang telah tuan-tuan dan puan-puan bina sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Penghargaan Pesara 2026 Hospital Zon Pantai Barat (Kawasan B), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS), di sini.

Majlis berkenaan menghimpunkan 636 warga daripada lima hospital, termasuk 54 pesara yang menerima penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menurut Datuk Dr William, sektor kesihatan menuntut pengorbanan masa, tenaga dan emosi yang besar, selain memerlukan komitmen berterusan daripada setiap warga yang terlibat.

Katanya, walaupun warga kesihatan memainkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza, setiap hospital saling melengkapi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah dapat diberikan pada tahap optimum.

Beliau turut menyifatkan penghargaan kepada pesara sebagai tanda terima kasih jabatan terhadap segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang mereka berkhidmat.

Sementara itu, pesara Hospital Queen Elizabeth (HQE), Stella Stephen, menyifatkan penghargaan berkenaan sebagai bukti bahawa jasa dan pengorbanan warga kesihatan terus dikenang walaupun selepas menamatkan perkhidmatan.

Stella yang telah berkhidmat selama 36 tahun sebagai jururawat turut berpesan kepada warga kesihatan yang masih berkhidmat supaya sentiasa memegang teguh amanah dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab.

Beliau turut menggalakkan warga kesihatan supaya menjadikan kerjaya sebagai satu ibadah serta mengekalkan semangat berpasukan demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis bertemakan “Mengiktiraf Kecemerlangan, Menginspirasikan Kegemilangan” itu turut menjadi platform untuk menghargai pencapaian warga kesihatan yang masih berkhidmat serta mengenang jasa mereka yang telah menamatkan perkhidmatan.

Selain Stella, para pesara yang diraikan terdiri daripada warga Hospital Queen Elizabeth, Hospital Queen Elizabeth II, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Hospital Mesra Bukit Padang serta Hospital Papar.

Penganjuran majlis bersama lima hospital itu turut diserikan dengan tayangan montaj, persembahan kebudayaan serta penyampaian sijil kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan para pesara.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap pencapaian dan sumbangan individu, malah memperkukuh kesinambungan budaya kerja cemerlang, semangat berpasukan dan komitmen dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang profesional, berintegriti serta berteraskan ihsan. SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE