Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hayati al-Quran, sunnah Rasulullah demi keharmonian masyarakat – Awang Ahmad

Read Time:2 Minute, 5 Second

PUTATAN: Pemimpin dan masyarakat diseru supaya sentiasa menghayati serta mengamalkan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, khususnya dalam usaha memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, berkata kefahaman terhadap ajaran Islam yang sebenar amat penting bagi memastikan urusan pentadbiran, pembangunan ekonomi rakyat dan pendidikan generasi muda dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Katanya, pemimpin di semua peringkat perlu menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam melaksanakan amanah kepimpinan, selain memastikan kebajikan serta hak semua lapisan masyarakat terus diberi perhatian.

“Sama-sama kita jalankan dengan baik, dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan rakyat yang semakin hari semakin bertambah ini mendapat pendidikan yang baik, ajaran yang baik dan juga agama yang baik.

“Begitu juga kepada pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini, harus dan wajib mengamalkan apa sahaja yang diajar melalui al-Quran dan juga sunnah-sunnah Nabi.

“Kita tidak boleh beranggapan bahawa kita orang Islam, kita majoriti, kita ketepikan yang lain atau kurang pedulikan yang lain.

“Para pemimpin di segenap lapisan peringkat disaran agar memimpin secara ikhlas dan bersih daripada sebarang bentuk ketidakadilan mahupun penindasan.

“Saya menyampaikan apa yang saya fahami agar kita sama-sama di peringkat kepimpinan sekalipun untuk memastikan tidak ada sebarang penindasan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Putatan 2026 di Dewan Sri Putatan, di sini

Mengulas mengenai sambutan berkenaan, Awang Ahmad berkata program itu tidak seharusnya dilihat sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk mendidik masyarakat supaya mengkaji, memahami dan mengambil pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Katanya, penghayatan terhadap sirah dan perjuangan Rasulullah SAW penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, bijaksana serta mampu mengamalkan nilai keadilan dan toleransi dalam kehidupan seharian.

“Langkah ini penting dalam melahirkan masyarakat dan kepimpinan yang berilmu, bijaksana serta bersikap adil terhadap semua golongan tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.

Pada majlis itu, Sekolah Agama Negeri (SAN) Integrasi Putatan dinobatkan sebagai johan Pertandingan Sepanduk Terbaik.

Masjid Nurul Ihsan Kampung Ketiau pula muncul johan Kontinjen Terbaik bagi kategori terbuka, manakala SMK Putatan memenangi kategori sekolah.

Sementara itu, Kampung Lok Kawi Baru muncul johan Pertandingan Kompang, manakala Kumpulan Karisma memenangi Pertandingan Nasyid.

Kategori Perkuburan Raudah pula dimenangi oleh Taman Perkuburan Kampung Ketiau.

Hadir sama, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Putatan 2026; serta Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib.

LEAVE A RESPONSE