Read Time:3 Minute, 38 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Generasi muda Sabah perlu berani menyuarakan pandangan, namun pada masa sama memiliki ilmu, berpegang kepada fakta dan mengamalkan adab dalam menyampaikan pandangan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keberanian bersuara perlu disertai kebijaksanaan untuk menilai sesuatu isu sebelum mempercayai, menyemak sebelum berkongsi dan berfikir sebelum bertindak.
Beliau berkata, perkara itu penting khususnya dalam era digital apabila maklumat boleh disebarkan dengan pantas, namun tidak semua perkara yang tular adalah benar atau tepat.
“Kita mahu generasi muda Sabah menjadi generasi yang berani menyuarakan pandangan, tetapi pada masa yang sama mempunyai ilmu, fakta dan adab.
“Kita boleh berbeza pandangan tanpa menjadi musuh. Kita boleh tidak bersetuju tanpa saling menjatuhkan. Kita boleh mengkritik, tetapi biarlah kritikan itu membawa kepada penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penangguhan Program Dewan Belia Sabah Sesi 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam Sabtu.
Menurutnya, Dewan Belia Sabah bukan sekadar menyediakan ruang kepada golongan muda untuk bersuara, malah menjadi platform untuk mereka belajar berfikir, mendengar, berhujah berdasarkan fakta, menghormati perbezaan dan memikul tanggungjawab.
“Anak muda Sabah perlu diberi ruang untuk bersuara, peluang untuk berkembang dan kepercayaan untuk memimpin.
“Suara tanpa ilmu hanya menjadi suara. Tetapi suara yang disertai ilmu, nilai dan tanggungjawab mampu menjadi kekuatan yang membawa perubahan,” katanya.
Nizam berkata, usaha merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya tidak boleh hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kemajuan teknologi, sebaliknya pembangunan modal insan perlu diberi perhatian sebagai pelaburan jangka panjang negeri.
Katanya, pembangunan modal insan bukan sekadar berkaitan kelayakan akademik, tetapi turut merangkumi kompetensi, karakter, disiplin, integriti, daya tahan, keyakinan diri, pemikiran kritis dan keupayaan memimpin.
“Kita mahu melahirkan anak muda Sabah yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan, tetapi mempunyai nilai. Bukan sahaja mempunyai cita-cita, tetapi mempunyai karakter.
“Bukan sahaja mahu berjaya untuk dirinya sendiri, tetapi mempunyai keinginan untuk membawa masyarakat dan negeri ini maju bersamanya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan tidak bermula apabila seseorang memperoleh jawatan atau kedudukan, sebaliknya bermula dengan kemampuan memimpin diri sendiri.
Katanya, kepimpinan dapat dilihat melalui cara seseorang mengurus emosi ketika berdepan tekanan, menerima teguran apabila melakukan kesilapan, menghormati pandangan berbeza, membuat keputusan ketika berdepan pilihan sukar serta mempertahankan integriti walaupun tiada siapa yang melihat.
“Kepimpinan tidak lahir dalam sehari. Ia dibentuk melalui peluang, pengalaman dan keberanian untuk memikul tanggungjawab.
“Binalah diri sehingga ilmu, karakter dan tindakan saudara dan saudari menjadikan masyarakat yakin bahawa anda layak untuk memimpin. Itulah kepimpinan yang akan menjadi panutan kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata, pengalaman menyertai Dewan Belia Sabah turut memberikan pendedahan penting kepada golongan muda mengenai demokrasi, institusi, dasar awam dan proses membuat keputusan.
Katanya, literasi politik dalam kalangan belia tidak seharusnya dilihat sebagai usaha membawa mereka kepada politik kepartian, sebaliknya memberi kefahaman mengenai cara negeri dan negara ditadbir, kesan sesuatu dasar terhadap rakyat serta hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Anak muda perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menilai sebelum mempercayai, menyemak sebelum berkongsi dan berfikir sebelum bertindak,” katanya.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama, budaya, daerah dan latar belakang di Sabah merupakan kekuatan yang perlu dipertahankan oleh generasi muda.
“Jangan menjadi generasi yang mudah dipecahkan oleh sentimen. Jadilah generasi yang menyatukan.
“Jangan gunakan perbezaan untuk membina tembok. Gunakan perbezaan untuk membina jambatan,” katanya.
Nizam berkata, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati Sabah merupakan asas penting kepada pembangunan kerana ia mampu membina keyakinan, merancakkan ekonomi, memperkukuh pelaburan serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat termasuk golongan belia.
Sehubungan itu, katanya, menjaga kestabilan bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pemimpin, tetapi tanggungjawab bersama termasuk generasi muda.
“Kita mahu dunia mengenali Sabah bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, tetapi kerana kehebatan pembangunan modal insan.
“Anak Sabah mesti mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sesiapa sahaja. Namun, dalam mengejar kejayaan global, jangan pernah kehilangan akar dan identiti kita.
“Berfikirlah secara global, tetapi kekallah berjiwa Sabah,” katanya.
Beliau berkata, generasi muda perlu membawa nilai hormat-menghormati, kebersamaan, kesederhanaan dan keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan masyarakat Sabah.
“Kerana kita tidak mahu sekadar melahirkan anak muda yang berjaya. Kita mahu melahirkan anak muda yang menjadi panutan.
“Anak muda yang apabila berjaya, mengangkat orang lain bersamanya. Anak muda yang apabila diberikan kuasa, menggunakannya sebagai amanah.
“Dan anak muda yang apabila berdiri di pentas dunia, membuatkan orang lain berkata dengan penuh hormat: ‘Dia anak Sabah’,” katanya. –SABAH MEDIA






