Read Time:1 Minute, 14 Second
TAMPARULI: Seramai 45 peserta terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa dari komuniti Kampung Pukak, Kiulu, menyertai Program Jom Renang yang dianjurkan Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, Jeffery Teo.
Menerusi kenyataan JBPM Sabah hari ini, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan di air selain memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas berenang, teknik menyelamat diri serta tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan atau insiden lemas.
Selain pembelajaran teori, peserta turut mengikuti latihan praktikal berkaitan teknik asas berenang yang betul serta aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai, laut, tasik dan kolam renang.
Program itu turut menekankan kepentingan mengenal pasti risiko di kawasan rekreasi air serta kaedah menyelamat mangsa secara selamat bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Penganjuran program berkenaan juga menjadi medium untuk memperkukuh hubungan antara JBPM dengan masyarakat setempat melalui aktiviti pendidikan keselamatan, gaya hidup sihat dan kesiapsiagaan komuniti.
Menurut JBPM Sabah, daerah Tuaran mempunyai pelbagai lokasi rekreasi air yang sering menjadi tumpuan orang ramai, termasuk kawasan sungai dan pantai, sekali gus memerlukan kesedaran berterusan mengenai bahaya aktiviti air.
Program Jom Renang dilaksanakan sebagai salah satu usaha pendidikan awam JBPM bagi melahirkan masyarakat yang lebih berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi kecemasan membabitkan aktiviti air.
Program berkenaan turut selaras dengan usaha memperkukuh budaya pencegahan serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan JBPM, khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta penyelamatan di air.






