Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

AWCL: Sabah FA wajib menang ke atas East Bengal untuk teruskan kemaraan

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Sabah FA berdepan tugas getir apabila wajib menewaskan East Bengal FC dari India pada aksi terakhir Kumpulan A Peringkat Awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 di Stadium Likas, Ahad ini, bagi memastikan tempat ke pusingan seterusnya.

Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales, menyifatkan perlawanan itu sebagai misi “do or die” buat pasukannya kerana keputusan seri atau kalah akan menutup peluang skuad wanita Sabah untuk meneruskan cabaran dalam kejohanan berprestij Asia itu.

Menurutnya, kedudukan semasa kumpulan memberikan kelebihan kepada East Bengal yang kini mendahului carta selepas mencatat dua kemenangan dalam dua perlawanan.

“Untuk perlawanan terakhir ini, bagi saya ia adalah misi ‘do or die’ kerana kita tidak boleh seri. Mahu atau tidak, kita mesti menang dalam perlawanan itu nanti kalau kita mahu layak ke peringkat seterusnya.

“Sekarang kita terpaksa membuat percaturan dan perancangan bagi menghalang kemaraan pasukan East Bengal dari India ini,” katanya pada sidang media selepas kemenangan 2-1 Sabah FA ke atas Rajshahi Stars FC dari Bangladesh di Stadium Likas, malam tadi.

Bobby berkata, anak buahnya perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin kerana East Bengal hadir sebagai pasukan yang memiliki kekuatan tersendiri, termasuk beberapa pemain import berkualiti.

Beliau turut mengakui pasukan dari India itu mempamerkan prestasi meyakinkan sepanjang saingan kumpulan apabila membelasah Rovers FC dari Guam 12-0 pada perlawanan kedua mereka, selain menewaskan Rajshahi Stars 4-0 dalam aksi pembukaan.

“Kita tahu mereka mempunyai pemain yang bagus termasuk tiga pemain import. Jadi, kita perlu mengkaji permainan mereka dan mencari kelemahan yang boleh dimanfaatkan pada perlawanan Ahad nanti,” katanya.

Sabah sebelum ini memulakan kempen AWCL dengan kemenangan besar 13-0 ke atas Rovers FC, namun hanya menang tipis 2-1 ketika menentang Rajshahi Stars malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan East Bengal memperoleh kelebihan dari segi kedudukan dan jaringan gol, sekali gus menjadikan pertembungan antara kedua-dua pasukan pada Ahad ini sebagai penentu utama tiket ke pusingan seterusnya.

Bagi Sabah FA, kemenangan bukan sahaja penting untuk menghidupkan impian beraksi lebih jauh dalam saingan AWCL, malah menjadi peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan pasukan wanita negeri itu bersaing di pentas tertinggi bola sepak wanita Asia. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE