Read Time:1 Minute, 22 Second
SHAH ALAM : Kontinjen Sabah meletakkan sasaran memburu empat pingat emas pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 hari ini dengan harapan tinggi disandarkan kepada atlet dalam acara olahraga, pencak silat dan taekwondo.
Berdasarkan jadual rasmi yang dikeluarkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, dua sasaran emas hadir menerusi acara olahraga yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Atlet lontar peluru lelaki, Earl Isaac Nitzler Fredolin, dijadual memulakan cabaran pada jam 8.30 pagi, manakala Samantha Mae Godfrey Binting akan beraksi dalam acara lompat bergalah wanita pada jam 9 pagi.
Pencak silat turut menjadi sandaran utama kontinjen Sabah untuk menambah kutipan emas.
Acara yang berlangsung di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu menyaksikan skuad silat wanita Sabah beraksi dalam final Silat Seni Regu menerusi gandingan Fiffy Ferlisa F. Rien, Manjaseerah Manuil dan Sherlenna Abdullah.
Turut membawa cabaran Sabah dalam pentas akhir ialah Roslyana Rustam bagi acara Silat Seni Tunggal Wanita dan Roslan Habil dalam kategori Silat Seni Solo Kreatif Lelaki.
Sementara itu, skuad Silat Seni Regu Lelaki Sabah yang dibarisi Mohammad Nazir Muhqaizul Asir, Mohammad Syafwan Abdullah dan Muhammad Darmadiansyah terlebih dahulu menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen negeri.
Harapan emas keempat pula disandarkan kepada atlet taekwondo, Putri Shahirah Noorazlina Abdul Gahfar, yang akan beraksi dalam kategori bawah 57 kilogram (Feather) di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Pertandingan dijadual berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang, tertakluk kepada kemaraan atlet ke peringkat seterusnya.
Hari ini menyaksikan sebanyak 37 pingat emas, 37 pingat perak dan 55 pingat gangsa dipertandingkan dalam pelbagai acara.
Kesemua pingat itu merupakan sebahagian daripada 468 pingat emas yang ditawarkan sepanjang temasya SUKMA XXII Selangor 2026. – SABAH MEDIA






