Read Time:1 Minute, 46 Second
KOTA KINABALU: Kontinjen Wilayah Tawau dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pesta Sukan Antara Wilayah (PESAWI) Ke-13, 2026 anjuran Kumpulan Yayasan Sabah selepas mengungguli kejohanan dengan kutipan lapan pingat emas dan empat perak.
Kontinjen Wilayah Kota Kinabalu muncul naib juara dengan empat emas, tujuh perak dan satu gangsa, manakala tempat ketiga disandang Kontinjen Wilayah Lahad Datu dengan satu perak dan lima gangsa.
Majlis penutupan kejohanan dwitahunan itu berlangsung di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Dr Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, berkata PESAWI bukan sekadar medan pertandingan sukan, sebaliknya menjadi platform memperkukuh semangat kekitaan, perpaduan, kerjasama dan silaturahim dalam kalangan warga Kumpulan Yayasan Sabah.
Katanya, semangat persaingan perlu sentiasa disertai rasa hormat terhadap rakan dan lawan bagi memastikan nilai kesukanan terus dipelihara.
“Kita boleh bersaing untuk mencapai kemenangan, namun persaingan itu hendaklah disertai rasa hormat terhadap rakan dan lawan.
“Sambil berusaha menjadi yang terbaik, kita wajib memelihara hubungan persahabatan dan semangat kekitaan selaras dengan slogan PESAWI Ke-13, ‘Bersahabat Dengan Hormat, Bersaing Dengan Semangat’,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semangat kerjasama dan kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan wajar diteruskan dalam budaya kerja seharian bagi membentuk organisasi yang lebih bersatu hati dan berprestasi tinggi.

Menurutnya, kejayaan dalam sukan bukan hanya diukur berdasarkan kemenangan, sebaliknya turut melibatkan keberanian mencuba, kesungguhan berusaha dan kesediaan untuk memperbaiki kelemahan.
“Dalam sukan, kemenangan bukanlah segala-galanya. Yang lebih utama ialah keberanian mencuba, kesungguhan berusaha dan kesediaan untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
PESAWI Ke-13 menghimpunkan kira-kira 500 atlet dan pegawai yang mewakili lima kontinjen wilayah Kumpulan Yayasan Sabah, iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan/Kota Marudu, Lahad Datu serta Keningau/Beaufort.
Kesemua kontinjen berentap dalam sembilan acara sukan yang dipertandingkan sepanjang kejohanan berkenaan.
Selain menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan warga Kumpulan Yayasan Sabah, PESAWI turut menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan.
Penganjuran kejohanan itu juga memberi peluang kepada warga Kumpulan Yayasan Sabah dari pelbagai wilayah untuk berinteraksi, mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti sukan.
PESAWI merupakan kejohanan yang dianjurkan secara dwitahunan bagi menghimpunkan warga Kumpulan Yayasan Sabah dalam suasana persaingan sihat, selain memperkukuh hubungan antara wilayah.





