BEAUFORT: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di belakang Maybank di daerah ini, malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.42 malam itu, sebuah Perodua Bezza dilaporkan terjunam ke dalam sungai ketika pemandu sedang mengundur kenderaan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 8.48 malam, kira-kira dua kilometer dari balai.
“Ketika tiba, semua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun. Ketiga-tiga mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Pasukan bomba kemudian memastikan keadaan mangsa berada dalam keadaan baik sebelum menyerahkan mereka kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan keadaan lokasi selamat operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.45 malam.






