Read Time:1 Minute, 15 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan komitmennya untuk membantu rakyat negeri ini tanpa mengira situasi, termasuk mereka yang ditimpa musibah ketika berada di luar negara.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Azrul Ibrahim berkata, ia termasuklah kes melibatkan seorang wanita, Rohana Joseph yang jatuh sakit ketika melancong di Vietnam dan tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri segera berhubung dengan suaminya, Jamri Herry, bagi menyelaras bantuan serta memastikan rawatan dapat diteruskan di Sabah.
“Sehari selepas kita melihat kes ini tular, kita telah mula berkomunikasi dengan suami mangsa. Beberapa sesi sidang video juga diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini.
Turut menyambut Rohana dan suaminya adalah ibunya Rosneh Asin.
Azrul berkata berkata, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Rumah Sabah, Yayasan Kebajikan Sabah, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan Negeri serta Malaysia Airlines, mangsa berjaya dibawa pulang ke Sabah.
Rohana kini dijadualkan menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Kota Kinabalu.
Azrul turut menegaskan bahawa kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sentiasa peka terhadap kebajikan rakyat Sabah, termasuk mereka yang ditimpa kemalangan atau musibah di luar negara.
“Kerajaan tidak memilih situasi. Sama ada kemalangan, sakit atau apa jua keadaan, kita akan berusaha membantu rakyat Sabah selagi termampu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes seperti ini bukan yang pertama, namun pendekatan bantuan tetap konsisten melalui agensi berkaitan seperti Rumah Sabah dan Yayasan Kebajikan Sabah. – SABAH MEDIA






