Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Malaysia Fair in Seoul 2026 sasar promosi global produk Malaysia

Read Time:2 Minute, 26 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Malaysia bakal memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa menerusi penganjuran julung kali Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 yang akan berlangsung di Dongdaemun Design Plaza (DDP), Seoul, Korea Selatan pada 7 hingga 8 November depan.

Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd., Fazura Azima Ag Sha berkata, penganjuran sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) itu menjadi platform strategik untuk mempromosikan pelancongan, perdagangan, budaya, inovasi serta pendidikan tinggi Malaysia kepada masyarakat Korea Selatan.

Katanya, MFIS anjuran Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd. bukan sekadar pameran produk pengguna, sebaliknya sebuah platform pelbagai sektor yang mampu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan melalui diplomasi ekonomi, budaya dan pendidikan.

“Malaysia dan Korea Selatan mempunyai hubungan bilateral yang kukuh. Menerusi Malaysia Fair in Seoul, kita mahu membawa keunikan serta keunggulan Malaysia terus ke tengah-tengah bandar Seoul, sekali gus membuka lebih banyak peluang perdagangan dan kerjasama,” katanya pada sidang media sempena MFIS di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran itu turut mendapat pengiktirafan serta sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, selain Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul.

Menurutnya, permintaan terhadap produk halal di Korea Selatan semakin meningkat, justeru pameran itu membuka ruang kepada syarikat tempatan menembusi pasaran negara berkenaan.

“Selain sektor pelancongan, kami turut membuka penyertaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri makanan dan pertanian, pendidikan tinggi, syarikat penerbangan serta pengusaha hotel,” katanya.

Fazura berkata, penganjuran sulung itu menawarkan penyertaan yang terhad kepada antara 46 hingga 50 pempamer, dengan hampir 10 peserta telah menyatakan komitmen setakat ini.

Beliau berkata, MFIS juga menyasarkan promosi edu-tourism dan eco-tourism berikutan peningkatan minat rakyat Korea Selatan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan jangka pendek yang selamat, berkualiti dan berpatutan.

Mengulas pemilihan Seoul sebagai lokasi penganjuran, beliau berkata Korea Selatan merupakan pasaran strategik kerana rakyat negara itu gemar melancong serta mempunyai minat tinggi terhadap makanan, budaya dan destinasi tropika.

“Kita mahu mengingatkan semula pasaran Korea bahawa Malaysia masih mempunyai banyak tarikan untuk ditawarkan, sama ada dari segi pelancongan, makanan, kepelbagaian budaya mahupun nilai mata wang yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata, MFIS akan menampilkan konsep festival di lokasi ikonik Dongdaemun Design Plaza yang menjadi tumpuan lebih 20,000 pengunjung setiap hari.

Katanya, program pada 7 dan 8 November memberi fokus kepada urus niaga perniagaan kepada pengguna (B2C), manakala sesi padanan perniagaan (B2B) akan diteruskan pada 9 November bagi membuka peluang syarikat Malaysia menjalin kerjasama dengan pengimport dan pembeli dari Korea Selatan.

Menurutnya, syarikat-syarikat utama dari Korea Selatan akan dikenal pasti oleh Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul berdasarkan sektor pempamer bagi melaksanakan sesi padanan perniagaan yang lebih berkesan.

Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat Malaysia menyertai pameran itu bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan masing-masing ke pasaran Korea Selatan dan seterusnya mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang berikut:

Website official: https://malaysiafairseoul.com/
Social media:
https://linktr.ee/myfairseoul?utm_source=linktree_profile_share&ltsid=d8d41bb6-5e39-4b44-87dc-41bd225974e7

LEAVE A RESPONSE