Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SMJ 2.0 terus perkukuh pembangunan modal insan Sabah

Read Time:3 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, komitmen itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan Sabah memiliki bakat dan kepakaran yang mencukupi dalam mendepani perubahan landskap ekonomi serta perkembangan pesat teknologi global.

“Ini akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang AI, teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal.

Hajiji berkata, tema persidangan ASAIHL iaitu “Merapatkan Sempadan, Membina Masa Depan: Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Pembangunan Mampan dan Transformasi Digital di Asia” amat bertepatan dengan keperluan semasa ketika dunia berdepan transformasi pesat dalam pelbagai sektor.

Katanya, dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, Sabah berdepan pelbagai cabaran yang kompleks termasuk bentuk muka bumi yang luas merangkumi kawasan pesisir pantai, tanah tinggi dan pedalaman terpencil, selain kepelbagaian masyarakat daripada segi etnik dan budaya.

Pada masa sama, beliau berkata, negeri ini turut berdepan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar yang memerlukan pendekatan menyeluruh serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan akses pendidikan berterusan dapat diperluaskan.

“Namun begitu, kita telah mengambil langkah proaktif untuk menangani cabaran ini, antaranya dengan menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Sabah, kolej komuniti, pusat latihan vokasional serta pertubuhan bukan kerajaan bagi memperluaskan akses kepada pendidikan berterusan.

“Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada pembelajaran sepanjang hayat itu penting, tetapi bagaimana kita membina sistem, jalinan kerjasama dan minda yang mampu menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih mudah diakses, saksama dan berkesan untuk semua,” katanya.

Hajiji berkata, kecerdasan buatan kini sedang mengubah cara manusia bekerja, manakala kemunculan teknologi baharu secara berterusan menuntut industri dan profesion untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Beliau berkata, integrasi AI, analitik data raya, pembelajaran mesin dan platform digital dalam pelbagai aspek kehidupan kini sedang mengubah landskap pendidikan, perdagangan, tadbir urus dan interaksi sosial.

“Bagi universiti di seluruh Asia, keadaan ini membawa peluang yang luar biasa, namun pada masa sama turut menghadirkan cabaran yang besar. Peluang tersebut terletak pada keupayaan kita untuk mencapai golongan pembelajar yang sebelum ini sukar diakses melalui platform dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya dan pembelajaran diperibadikan yang dibantu AI,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik kehadiran tokoh akademik dan pemikir dalam persidangan berkenaan yang terlibat secara aktif dalam transformasi digital serta inovasi pendidikan di rantau ini.

Katanya, persidangan itu menerima sebanyak 12 kertas penyelidikan daripada penyelidik di seluruh rantau Asia, sekali gus membuktikan komitmen berterusan komuniti akademik dalam menterjemahkan potensi teknologi kepada realiti pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Inilah bentuk penglibatan intelektual yang kita perlukan, iaitu yang mampu menterjemahkan potensi teknologi kepada realiti pendidikan,” katanya.

Hajiji turut berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa ASAIHL 2026 berjaya menarik penyertaan peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis.

Katanya, penyertaan itu bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian tradisi akademik, konteks dasar dan pengalaman, malah menjadi asas penting kepada kekuatan pertukaran akademik antarabangsa yang lebih bermakna.

“Kepelbagaian ini bukan sekadar satu pencapaian dari segi penganjuran, malah menjadi asas kepada kekuatan pertukaran akademik antarabangsa,” katanya.

Beliau pada masa sama memuji UMS atas peranannya dalam memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat di negeri ini menerusi pelbagai program jangkauan, inisiatif pembangunan profesional dan aktiviti libat urus komuniti.

Menurutnya, usaha berterusan universiti itu telah memperkukuh kedudukannya sebagai rakan pembelajaran sepanjang hayat kepada rakyat Sabah, selain menjadi contoh kepada institusi lain untuk bersama-sama mempromosikan budaya pembelajaran berterusan.

“Saya berharap lebih banyak institusi dan organisasi yang berkongsi aspirasi sama akan mencontohi usaha seperti ini dalam mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

LEAVE A RESPONSE