Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

JAS tingkat penguatkuasaan cegah pembakaran terbuka susulan cuaca panas

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah meningkatkan kesiapsiagaan dan aktiviti rondaan bagi mencegah kejadian pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.

Pengarah JAS Negeri Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan serta rondaan harian di kawasan yang dikenal pasti berpotensi berlaku pembakaran terbuka.

Menurutnya, JAS turut memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan kualiti udara sentiasa dipantau.

“Pada 31 Ogos 2026, rondaan harian telah dilaksanakan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.

“Rondaan memberikan tumpuan kepada kawasan sensitif serta lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dilaksanakan di seluruh negeri.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil maklum bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam melalui laman sesawang rasmi JAS atau aplikasi telefon pintar MyJAS EQMS.

Selain itu, orang ramai turut disarankan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan nasihat kesihatan serta langkah pencegahan yang perlu diambil sekiranya berlaku jerebu.

JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Menurutnya, berdasarkan Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun sehingga RM500,000 juga boleh dikenakan bagi kesalahan berkenaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil yang berlaku serta segera melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999.

Aduan berkaitan pembakaran terbuka juga boleh disalurkan kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.

Beliau berkata kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu mencegah pembakaran terbuka, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran udara dan kejadian jerebu, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering.

LEAVE A RESPONSE