Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: PANTAS percepat pengeluaran geran tanah, 25,591 lot tanah berjaya diukur

Read Time:1 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah melibatkan keluasan keseluruhan 33,891.181 hektar di seluruh negeri bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih, berkata program itu merupakan inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah Anak Negeri yang telah diluluskan, sekali gus memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, Program PANTAS menerima peruntukan sebanyak RM83 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta.

“Pada tahun 2026, peruntukan berjumlah RM1 juta telah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur bagi pelaksanaan program tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Isnin berkata, seramai 53 pasukan juruukur telah ditugaskan bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh daerah di Sabah.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.

LEAVE A RESPONSE