DUN Sabah : ADUN Tungku esa Sabah cabar Warta LN 166/1965, dakwa negeri hilang kuasa kutip hasil sendiri
Read Time:2 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian, menggesa kerajaan Sabah mengambil pendirian mencabar kesahihan Warta Kerajaan LN 166 Tahun 1965 yang didakwanya menjadi punca negeri kehilangan kuasa mengurus dan mengutip hasil sendiri.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Assaffal berkata perbahasan belanjawan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pecahan peruntukan atau jumlah perbelanjaan kementerian, sebaliknya perlu menilai sama ada bajet yang dibentangkan memenuhi ciri-ciri sebuah belanjawan yang baik.
Menurut beliau, belanjawan yang berkualiti perlu bersifat seimbang dan berhemat, mengutamakan keperluan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan hasil negeri, telus, mempunyai keutamaan yang jelas, menyediakan rizab kewangan, mampan untuk jangka panjang serta berasaskan prestasi.
Beliau turut menegaskan bajet tambahan tidak sepatutnya menjadi amalan setiap tahun jika perancangan belanjawan dibuat dengan lebih teliti.
Katanya, bajet tambahan hanya wajar dibentangkan dalam keadaan tertentu seperti bencana, kecemasan, peningkatan kos projek yang munasabah, pelaksanaan dasar baharu atau keperluan mendesak melibatkan keselamatan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, Assaffal berkata isu paling besar yang dihadapi Sabah bukanlah soal bagaimana wang dibelanjakan, tetapi kekurangan sumber kewangan negeri.
Menurutnya, Sabah mempunyai hasil bumi yang mencukupi, namun negeri kehilangan sebahagian besar kuasa mengurus sumber tersebut apabila beberapa ordinan negeri diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan melalui Warta LN 166 Tahun 1965.
Beliau mendakwa tindakan itu melangkaui kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 73 dan 74 Akta Malaysia 1963 serta Perkara 48 Perlembagaan Negeri Sabah.
Menurut Assaffal, penelitian beliau terhadap peruntukan berkenaan mendapati tiada kuasa yang secara jelas membenarkan ordinan negeri diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan, sebaliknya peruntukan itu hanya membolehkan pengubahsuaian undang-undang sedia ada bagi memastikan pentadbiran dapat diteruskan selepas pembentukan Malaysia.
Beliau turut mendakwa tiada rekod menunjukkan perintah berkaitan pernah dibentangkan di DUN Sabah sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 48 Perlembagaan Negeri Sabah.
“Kalau benar perkara ini tidak melalui proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri Sabah, maka timbul persoalan sama ada warta tersebut sah ataupun tidak,” katanya.
Menurut beliau, ordinan yang terlibat antaranya membabitkan cukai pendapatan, petroleum, kastam dan eksais, yang menurutnya merupakan sumber hasil penting negeri.
Beliau berhujah sekiranya Warta LN 166 Tahun 1965 didapati tidak sah, ordinan-ordinan tersebut boleh kembali berada di bawah kuasa Sabah, sekali gus membolehkan negeri mengutip hasil sendiri dan mengasingkan bahagian hasil mengikut formula yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, langkah itu berpotensi mengurangkan pergantungan Sabah terhadap bayaran khas daripada Kerajaan Persekutuan serta memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
Sehubungan itu, Assaffal menggesa kerajaan negeri mengambil pendirian bahawa Warta LN 166 Tahun 1965 adalah tidak sah serta mempertimbangkan pelaksanaan semula ordinan-ordinan negeri yang berkaitan.
Pada masa sama, beliau mencadangkan sebarang pertikaian berhubung perkara itu diputuskan oleh mahkamah bagi menentukan sama ada pewartaan tersebut dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri Sabah dan Akta Malaysia 1963.
Beliau turut mendakwa tindakan pada 1965 itu telah memberi kesan terhadap hak substantif Sabah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 161E dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.
Mengakhiri perbahasannya, Assaffal menggesa kerajaan negeri mengambil langkah lebih berani mempertahankan hak Sabah melalui saluran undang-undang bagi mendapatkan semula kuasa mengurus serta mengutip hasil negeri sendiri.






