Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU: Kewujudan penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu hanyalah kemudahan asas bagi memenuhi keperluan umat Islam menunaikan solat dan bukannya satu bentuk keistimewaan eksklusif kepada mana-mana agama.
Mufti Kerajaan negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, penanda berkenaan disediakan bagi membantu pendaki beragama Islam menentukan arah menghadap Kaabah ketika menunaikan solat sepanjang berada di gunung tertinggi di Malaysia itu.
Menurutnya, pemasangan penanda kiblat tidak seharusnya disalah tafsir sebagai pemberian hak istimewa kepada umat Islam sehingga menafikan kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.
“Sebaliknya, kemudahan itu merupakan satu bentuk keperluan khusus berdasarkan tuntutan ibadah umat Islam tanpa menghalang penganut agama lain melakukan aktiviti keagamaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kewujudan penanda kiblat sama sekali tidak menjejaskan hak penganut agama Kristian, Hindu, Buddha atau kepercayaan lain untuk berdoa serta mengamalkan kepercayaan mereka di Gunung Kinabalu.
Malah, penganut agama lain yang memerlukan kemudahan tertentu turut dialu-alukan mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian serta peraturan taman.
Menurutnya, keadilan dalam konteks kepelbagaian agama tidak semestinya bermaksud semua bentuk kemudahan perlu disamaratakan, sebaliknya setiap pengunjung perlu diberikan penghormatan dan layanan yang saksama.
“Orang ramai juga perlu memahami perbezaan antara penyediaan kemudahan bagi memenuhi keperluan sesuatu agama dengan pemberian keistimewaan sehingga menafikan hak penganut agama lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pendakian kekal menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi oleh sebarang aktiviti keagamaan mahupun kebudayaan.
BERITA BERKAITAN
https://sabahmedia.com/2026/11/17/penanda-arah-kiblat-dipasang-di-laluan-pendakian-gunung-kinabalu/





