Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

160 pemain meriahkan Kejohanan Pickleball Wanita 2026

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Seramai 160 pemain daripada pelbagai daerah di negeri ini menyertai Kejohanan Pickleball Wanita 2026, sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan pickleball dalam kalangan wanita di Sabah.

Kejohanan anjuran bersama Bounce Pickleball Club dan Dinkers Point Pickleball Club itu menghimpunkan 80 pasangan pemain dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu Novis, Pertengahan (Intermediate) dan Veteran.

Pengarah Program yang juga Presiden Bounce Pickleclub, Nur Zahiera Putri Ismail berkata, jumlah penyertaan tahun ini meningkat ketara berbanding edisi tahun lalu yang hanya menerima 50 pasangan, sekali gus membuktikan minat terhadap sukan berkenaan semakin berkembang.

“Tahun lalu kami menerima penyertaan 50 pasangan, namun tahun ini jumlah itu meningkat kepada 80 pasangan membabitkan seramai 160 pemain.

“Peserta bukan sahaja datang dari Kota Kinabalu, malah turut disertai pemain dari Tawau, Keningau, Kota Belud dan Kudat,” katanya ketika ditemui pada kejohanan itu.

Nur Zahiera

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu disempurnakan Pengerusi Biro Rumah Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) Datin Noriah Pg Ahmad bagi mewakili Yang Dipertua MUTIARA GRS Datin Seri Juliah Salag.

Nur Zahiera berkata, kejohanan itu dianjurkan bagi menyediakan platform yang kondusif kepada pemain wanita untuk bersaing dalam suasana yang selesa, sekali gus membantu meningkatkan kualiti permainan mereka.

Beliau berkata, pihaknya percaya faktor keselesaan memainkan peranan penting dalam membolehkan pemain mempamerkan prestasi terbaik, khususnya bagi pemain wanita termasuk Muslimah.

Katanya, edisi kali ini turut memperkenalkan kategori Veteran yang terbuka kepada peserta berusia 40 tahun dan ke atas bagi menggantikan kategori Terbuka yang dipertandingkan sebelum ini.

“Selain menjadi medan pertandingan, kejohanan ini juga bertujuan memperkukuh komuniti pickleball wanita di Sabah serta memberi lebih banyak peluang kepada pemain untuk menimba pengalaman dalam pertandingan kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah mempunyai ramai pemain berbakat yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, namun usaha pembangunan bakat perlu diperkasakan menerusi lebih banyak program latihan, kejurulatihan, akademi dan kejohanan.

Beliau berharap sokongan pelbagai pihak terhadap pembangunan sukan pickleball di Sabah dapat diteruskan agar lebih ramai pemain tempatan mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – SABAH MEDIA / FOTO ALEXTER ROSALIA

LEAVE A RESPONSE