Read Time:1 Minute, 59 Second
KOTA KINABALU : Sebanyak 39 buah rumah berjaya dirobohkan dalam satu operasi bersepadu perobohan struktur haram di kawasan setinggan belakang Likas Square di sini.
Operasi yang diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku pemilik kawasan rizab parit dan sungai itu dilaksanakan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang dilaksanakan itu adalah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membanteras pencerobohan tanah kerajaan.
Selain itu, operasi itu juga bagi memelihara rizab sungai dan sistem saliran, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan bandar raya berjalan secara terancang, selamat dan mematuhi peruntukan undang-undang.
“Kawasan setinggan di belakang Likas Square merupakan kawasan yang pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini.

” Hasil pemantauan mendapati struktur haram telah didirikan semula oleh penghuni yang dikenal pasti sebagai bukan warganegara, sekali gus menjejaskan fungsi rizab parit dan sungai, keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan itu di sini pada Ahad.
Menurut DBKK, sebanyak 39 notis pengosongan, perobohan dan pengalihan telah diserahkan pada 25 Jun lalu, dengan tempoh pematuhan selama 14 hari diberikan kepada penghuni sebelum operasi perobohan dijalankan pada 9 Julai 2026.

“Ia adalah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil dan mengikut lunas undang-undang,” tambah kenyataan itu lagi.
Operasi bersepadu ini melibatkan JPS selaku agensi peneraju dan seramai 25 anggota daripada pelbagai agensi iaitu Jabatan Penguatkuasaan, DBKK melalui Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).

Sepanjang operasi, sebanyak 39 buah rumah telah dirobohkan, melibatkan 38 buah rumah menggunakan jentera kontraktor yang dilantik oleh JPS, manakala sebuah rumah dirobohkan sendiri oleh pemilik.
DBKK menegaskan bahawa sebarang pembinaan rumah atau struktur tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan, termasuk kawasan rizab sungai dan rizab parit, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara konsisten bagi memelihara kepentingan awam, melindungi aset kerajaan serta memastikan kesejahteraan bandar raya.
DBKK turut menyeru orang ramai supaya tidak menceroboh tanah kerajaan atau membina sebarang struktur tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai sebuah bandar raya yang selamat, bersih, berdaya huni dan mampan.
“DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi serta semua pegawai dan anggota yang terlibat atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan operasi ini,” menurut kenyataan itu.






