Read Time:1 Minute, 35 Second
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, khususnya pada musim puncak, yang disifatkan bukan lagi sekadar isu perjalanan, sebaliknya melibatkan akses pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial serta hubungan kekeluargaan rakyat Sabah.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata penerbangan bagi rakyat Sabah bukan satu kemewahan, sebaliknya keperluan memandangkan tiada alternatif pengangkutan darat seperti jalan raya atau kereta api yang menghubungkan Sabah dengan Semenanjung.
“Bagi rakyat Sabah, kapal terbang bukan kemewahan, ia adalah keperluan.
“Apabila tambang terlalu tinggi, mahasiswa mungkin terpaksa menangguhkan perjalanan kembali ke kampus, usahawan muda kehilangan peluang, atlet perlu memikirkan semula penyertaan dalam pertandingan, manakala ibu bapa terpaksa mencari wang tambahan hanya untuk membeli tiket anak.
“Lebih menyedihkan apabila anak Sabah di Semenanjung menerima berita kecemasan atau kematian ahli keluarga, tetapi perkara pertama yang perlu difikirkan ialah sama ada mereka mampu membeli tiket untuk pulang.
“Jarak tidak sepatutnya menjadi hukuman kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Abqaree, kos mobiliti yang tinggi turut memberi kesan kepada pembangunan Sabah apabila rakyat negeri ini terpaksa menanggung “kos geografi” untuk mendapatkan akses kepada peluang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi di peringkat nasional.
Sehubungan itu, MBS menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan mempertimbangkan intervensi lebih berkesan, termasuk meningkatkan kapasiti tempat duduk ketika musim puncak, menggalakkan persaingan antara syarikat penerbangan serta memperkukuh pemantauan terhadap kenaikan tambang.
MBS turut mencadangkan supaya mekanisme bantuan atau tambang bersasar dipertimbangkan bagi golongan tertentu, termasuk mahasiswa, atlet serta mereka yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kecemasan keluarga.
“Kami memahami industri penerbangan mempunyai kos operasi dan harga dipengaruhi permintaan.
“Namun, faktor geografi tidak seharusnya menyebabkan rakyat Sabah membayar harga terlalu tinggi untuk mendapatkan peluang yang sama.
“MBS tidak meminta tiket percuma. Kami meminta satu sistem yang lebih adil.
“Penerbangan antara Sabah dan Semenanjung bukan sekadar menghubungkan dua destinasi, tetapi menghubungkan keluarga, pendidikan, pekerjaan, peluang dan masa depan anak-anak Sabah,” katanya.






